Termenung di muka pintu, matanya sedari tadi tertatap pada susuk seorang tua yang berkerusi roda di halaman, bertemankan jururawat peribadi di sisi. Ceria lihatnya mereka berborak dan bercanda. Entah apa yang dibualkan, hanya mereka yang tahu. Biarlah, asalkan mereka bahagia.
Seketika perhatiannya beralih pada seorang wanita yang berusia sekitar 70-an di sudut pangkin. Afif tersenyum. Sungguhpun kudratnya tampak lemah, jejari tua itu tetap gagah menganyam tikar daun pandan yang sudah menjadi hobinya di petang hujung minggu ini. Perlahan nafas Afif lepas. Sebak di dada cuba ditahan semampunya.
Kalaulah dia ada.....
"Mama, mama, mama! Belikan Apeh kereta mainan macam tu, boleh?" Pintanya pada suatu petang, semasa menonton iklan kereta mainan keluaran terbaru di kaca televisyen.
"Apeh, perlahanlah sikit suara tu. Abah kan tengah mengaji." Tegur alang, abangnya yang sulung. Manakan tidak, selamba sahaja Afif menjerit menerpa Mama yang baru pulang dari kerja.
Afif hanya diam tanpa riak. Sekilas dia menjeling Abah di langgar solat. Secara automatik dia mencebik sebelum mendekati Mama dan menghulurkan salam. Dia mengulangi permintaannya sambil tersengih seperti kerang busuk.
"Mintalah dari Abah. Mama mana reti nak cari benda-benda macam ni." Lembut Mama bertutur. Terguris hati si anak nanti, jenuh pula hendak memujuk.
"Alah, Mama. Abah takkan beli untuk Apeh. Mama je yang baik dengan Apeh. Bolehlah, Mama. Hujung minggu ni kita pergi la pekan." Tidak putus rayuan Afif. Mama hanya tersenyum menggeleng. Apeh ni...
Belum sempat Afif meneruskan misi pujuk rayunya, kedengaran derap kaki melangkah mendekati. Ah, itu pasti Abah! Pantas Afif meloloskan diri ke bilik tidurnya. Sempat dia terdengar dari jauh suara abahnya.
"Apalah dimahukan anak itu lagi?"
Afif terdiam di balik pintu. Aku benci! Hatinya berteriak.
Hujung minggu itu, Afif ke pekan. Berbekalkan wang yang ada, biarlah dia pergi sendiri membeli kereta mainan idamannya itu. Kebetulan Abah pula tiada di rumah sejak awal pagi, ke mana perginya orang tua itu entah. Dia malas mahu ambil kisah. Apa yang penting, Mama sudah maklum dia ingin ke pekan. Hari ini hari yang paling indah, detik benaknya dalam sengih sendirian.
Sejurus mengambil kereta mainan idaman dan membuat pembayaran di kaunter, dia keluar dari kedai dengan perasaan bahagia tak terkata. Baru beberapa langkah kakinya menapak, dia terhenti. Di kedai seberang jalan, kelihatan Abah keluar bersama Acu, yang beriak sungguh gembira membelek sepucuk pistol mainan, pastinya baru dibeli.
Hati Afif membara. Bibir diketap kuat sambil sedaya upaya menahan air mata dari tertumpah. Lantas dia mengatur langkah berlalu pergi.
"Apeh?" Bahunya ditepuk lembut. Perlahan Afif menoleh, cuba berlagak biasa. Terpadam segala imbauan lalu yang melayari fikirannya tadi.
"Ayong" Lemah suaranya menyahut. Senyum tawar terukir di bibirnya.
"Apeh tengah fikir apa tu? Sedih je Ayong tengok." kakaknya memulakan bicara.
"Tak ada apa lah, yong. Teringat memori silam je." Apeh sengih paksa. Sungguhlah kakak aku yang sorang ni suka kacau emosi orang.
"Tak payah nak tipulah, Apeh. Ngaku je, Apeh rindu Abah?" Provok si kakak. Apeh seraya mengangkat pandang ke arah Ayong. Haih, macam tak puas hati sangat ni dah kenapa kak oi?
"Tak ada maknanya nak rindu bagai. Tak ada guna terhegeh-hegeh dekat orang yang tak peduli pun kat kita ni haa." Ujar Apeh selajur mencebik. Dia berkira-kira mahu berlalu pergi dari situ sebelum Ayong menyambung bicara. Tak nak bincang pasal ni...
"Apeh, satu je Ayong nak pesan. Turunkan ego."
Ego? Siapa yang ego? Entah apa-apa lah Ayong ni.