BAB 1
Aku duduk bersila di atas kerusi dengan posisi badan yang menegak di satu sudut bilik yang menempatkan meja belajar. Mata difokuskan pada satu-persatu aksara yang muncul pada skrin komputer riba. Sempat aku mengerlingkan mata pada jam di bahagian bawah hujung belah kanan skrin. Sudah menunjukkan pukul 11:17 minit malam.
Tok tok tok...
"Hasya..."
Kedengaran pintu diketuk dan namaku dipanggil daripada luar.
"Masuk. Pintu tak kunci,"
Pintu dibuka. Serentak dengan itu, aku menoleh. Kelihatan Sara, teman serumah juga sahabat baikku sedang menjengukkan kepala di sebalik pintu.
"Sara. Ada apa ketuk pintu malam-malam ni?"
Tidak sampai sesaat aku menoleh ke arah Sara, mata kembali memandang skrin komputer riba.
"Kau busy ke?" tanya Sara.
"Busy juga la. Kena siapkan kerja sorang mangkuk ayun ni. Kata nak hantar part dia kat aku petang tadi. Alih-alih hilang. Daripada petang tadi aku Whatsapp, tak reply. Aku call, tak angkat. Dah la due date pukul 12 malam ni,"
Pening kepalaku dengan sikap sambil lewa Alina, salah seorang ahli kumpulanku. Pada mulanya, Alina berjanji untuk menyiapkan tugasannya malam semalam. Selepas itu, ditangguhkan pula ke petang tadi. Sudahnya, lesap begitu saja. Membara juga hati ni.
"Sorry, termengadu kat kau pula. Tak pasal-pasal kena tadah telinga dengar aku membebel," aku menoleh sekilas ke arah Sara seraya mempamerkan riak serba salah.
Sara tersenyum segaris. Lalu, dia masuk ke dalam bilikku dan duduk di atas katil.
"Tak ada apa la. Aku faham. Benda biasa tu bila dalam group assignment,"
Ya, anak-anak. Dengar tak tu? Perkara biasa yang terjadi dalam group assignment. Dalam ahli kumpulan, mesti ada yang spoil. Peribahasa ada sebut. Dalam setandan pisang, mesti ada yang busuk.
"Kau nak aku tolong apa-apa tak?" tanya Sara.
"Tak payah la, Sara. Susahkan kau aje,"
Sepi.
1 minit.
2 minit.
3 minit.
"Kau nak apa datang malam-malam ni?" tanyaku sekali lagi tanpa mengalihkan sedikit pun pandangan daripada skrin. Nampak jelas kesibukanku kala ini. Selalunya, aku akan menumpukan sepenuh perhatian apabila bercakap dengan seseorang.
"Hmmm... Tak apa la, Sya. Aku cakap dengan kau esok aje. Sorry ganggu," pamit Sara seraya melangkah keluar daripada bilikku.
Pintu bilik kembali ditutup. Kini, aku kembali bersendirian. Aku tertanya-tanya. Sara nak cakap apa?
Jeda sebentar.
Lalu, aku menepuk pipi lembut.
'Siapkan dulu kerja tu, Hasya. Baru boleh fikir benda lain,'
*****
"Jadi..."
"Jadi apa?" tanya Sara. Terhenti suapannya.
Aku menopang dagu di atas meja. Dia memerhati saja Sara daripada tadi. Sara ni ingat ke tidak? Ingatkan nak cerita sambil makan. Kita punyalah tunggu dia buka mulut daripada tadi. Dah nak habis nasi lemak dia tu.
"Jadi, benda apa yang kau nak cakap kat aku semalam?"
"Ohhh... Pasal tu,"
Sara menghentikan kata-katanya sebentar. Dia meneguk muk yang berisi milo ais. Aku masih menunggu Sara untuk meneruskan kata-katanya.
"Semalam aku keluar tengok wayang dengan kawan-kawan aku. Kau tahu aku jumpa siapa?"
"Siapa"
"Azeem,"
Aku duduk tegak sebaik sahaja Sara menyebut nama teman lelakiku.
"O...key. Kenapa kalau kau jumpa dia kat luar pun? "
"Guess what? Aku nampak dia keluar dengan sorang perempuan. Berdua aje. Bukan main mesra. Siap berpelukan lagi,"
"Ha? Kau biar betul, Sara?" suaraku terlonjak sedikit.
Sara melepaskan keluhan.
"Aku dah agak reaction kau macam ni. Tapi apa aku boleh cakap, aku memang nampak dengan mata aku sendiri,"
"Mungkin tu kawan dia atau..."
"Perempuan tu caucasian with red hair. Kau kenal semua kawan-kawan dia kan? Dia ada ke kawan caucasian? Lagi satu, kawan apanya sampai berpeluk macam tu?"
Kelu lidahku mendengar bidasan daripada Sara. Aku menggigit bibir bawah seraya mengerutkan dahi. Cuba mencerna kata-kata yang baru keluar daripada mulut sahabat baikku. Mana tidaknya. Baru mendengar berita yang agak kurang senang tentang teman lelaki sendiri.
Sara bangun daripada duduk. Bekas polisterin dibuang ke dalam tong sampah. Dia membuka pili air dan membasuh tangan dan muk di sinki.
"Macam aku cakap tadi, aku memang nampak dengan mata aku sendiri. Tapi kalau kau nak bukti, gambar pun aku tak ada. Jadi, terserah pada kau nak percaya ataupun tak. Aku cerita kat kau ni sebab aku tak nak kawan aku kena tipu. Kau pun ada cakap, dia pernah curang dulu kan? Tak mustahil dia akan curang lagi," kata Sara lalu keluar daripada dapur.
Aku masih di meja makan sambil termangu-mangu sendiri. Otakku ligat memikirkan kata-kata Sara sebentar tadi.
Sahabat baik atau teman lelaki? Siapa yang lebih dipercayai?