Bab 1
“Tahniah,” ucap Faisal, bapa kepada Afini, sebaik sahaja melihat keputusan SPM anaknya yang begitu cemerlang. Wajahnya jelas terpancar dengan rasa bangga dan puas hati terhadap kejayaan yang telah dicapai oleh puterinya.
Mendengar ucapan itu, Afini sekadar tersenyum, namun di dalam hatinya timbul satu bisikan nakal.
Tch, tahniah je? Tak ada reward ke?
Namun, sangkaannya meleset apabila tiba-tiba si ayah memperlahankan kenderaan dan memberhentikannya di hadapan sebuah kompleks beli-belah Aeon yang baru sahaja dibuka beberapa bulan lalu. Tanpa banyak bicara, Faisal menghulurkan sekeping not RM100 kepada anak keduanya.
“Pergilah beli apa-apa yang Afini nak,” katanya dengan nada lembut.
Terkejut dengan pemberian itu, Afini segera mengucapkan terima kasih sebelum keluar dari kereta. Mungkin bagi sesetengah orang, jumlah itu tidaklah begitu besar, namun bagi dirinya yang berasal dari keluarga B40, ia sudah lebih daripada mencukupi.
Langkahnya diatur ke dalam pusat beli-belah yang masih terasa baharu itu. Dia terus menuju ke sebuah kedai gajet dengan hati penuh keterujaan. Sejak di bangku sekolah menengah, dia telah lama menyimpan impian untuk memiliki satu peranti yang sangat diidamkannya—sebuah set Virtual Reality atau lebih dikenali sebagai VR. Hari ini, impian itu bakal menjadi kenyataan.
Namun, dalam keterujaannya, Afini tidak menyedari kehadiran seseorang yang berjalan dari arah bertentangan. Dalam sekelip mata, mereka bertembung dengan kuat sehingga menyebabkan Afini hilang keseimbangan dan terjatuh ke lantai.
“Argh, malang betul! Dah habis sekolah pun masih langgar orang,” gumamnya perlahan, sedikit geram dengan situasi yang tidak diduga itu.
Sebaliknya, lelaki yang melanggarnya langsung tidak terjejas. Dia hanya berdiri tegak, memandang Afini dengan wajah sedikit bersalah sebelum menghulurkan tangannya sebagai tanda bantuan.
“Sorry,” ucapnya ringkas.
Namun, Afini hanya mengabaikan huluran tangan tersebut. Dengan cepat, dia bangun sendiri dan menepuk-nepuk pakaian yang sedikit berhabuk akibat jatuh tadi.
“Sorry,” balasnya acuh tak acuh sebelum melangkah masuk ke dalam kedai gajet tanpa menoleh ke belakang lagi.
Di dalam kedai, dia terus menuju ke bahagian VR, matanya melilau mencari pilihan yang paling berpatutan dengan bajetnya. Pelbagai model VR tersusun rapi di rak pameran, kebanyakannya berharga ratusan hingga ribuan ringgit. Setelah meneliti dengan teliti, akhirnya dia memilih satu set VR yang paling murah tetapi masih memenuhi keperluannya.
Dengan hati yang berbunga riang, dia bergerak ke kaunter untuk membuat pembayaran. Namun, matanya tiba-tiba tertumpu pada sosok lelaki yang melanggarnya tadi—rupanya dia juga sedang berurusan di kaunter pembayaran.
Afini memilih untuk berdiri sedikit jauh, tidak mahu berurusan lagi dengan lelaki itu. Namun, perhatiannya tertarik apabila melihat lelaki tersebut mengeluarkan sekeping kad berwarna hitam.
Matanya sedikit membulat.
Black card?
Seperti yang diketahuinya, kad hitam atau black card selalunya dimiliki oleh individu yang berada dalam golongan orang kaya. Namun, sebelum dia sempat berfikir lebih lanjut, satu perkara yang tidak disangkanya berlaku.
Transaksi lelaki itu gagal.
Penjaga kaunter yang awalnya kelihatan sedikit terkejut kini tersenyum kecil sebelum meminta lelaki tersebut mencuba sekali lagi. Namun, cubaan kedua juga menemui kegagalan.
“Erk, maaf ya. Sekejap,” ujar lelaki itu dengan nada sedikit gelabah. Dia segera membuka dompetnya dan mengeluarkan beberapa keping not RM50 sebelum menyerahkannya kepada juruwang.
Afini yang melihat kejadian itu hanya tersenyum sinis.
Hah, ada black card pun tak guna kalau tak boleh pakai!
Selepas lelaki itu selesai, tibalah giliran Afini. Dia segera membayar harga VR pilihannya sebelum melangkah keluar dari kedai dengan perasaan puas. Namun, dia masih belum mahu pulang.
Langkahnya seterusnya membawanya ke Watsons, kedai kegemaran kebanyakan perempuan. Dia menuju ke bahagian produk penjagaan kulit, matanya terus mencari toner yang sudah hampir habis di rumah. Setelah beberapa saat mencari, dia menemui jenama Cosmoderm, produk yang paling sesuai dengan kulitnya yang sensitif.
Namun, toner yang diinginkannya diletakkan di bahagian rak paling bawah. Afini pun mencangkung untuk mengambilnya.
Belum sempat dia mencapai botol toner itu, satu suara tiba-tiba menyapanya dari belakang.
“Kau ikut aku?”
Afini mendongak dengan dahi berkerut. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati pemilik suara itu adalah lelaki dari kedai gajet tadi.
Apa pula dia nak kali ni?
“For what?” balasnya dengan nada tidak berminat, memandang lelaki itu dengan pandangan penuh kehairanan.
“To steal my black card lah!”
Terbeliak mata Afini mendengar tuduhan itu.
“Hah? Buat apa aku nak curi? Bukannya ada duit pun dalam tu!” sengajanya mengungkit insiden tadi.
Lelaki itu kelihatan tersipu malu, namun dia tetap tidak mahu mengalah.
“Hish, tak kisahlah ada duit ke tak, black card ni tetap premium sebab susah nak dapat!” katanya dengan nada penuh keyakinan.
Afini hanya menggeleng sambil mendengus perlahan.
“Okay, you win, man. Tapi tolonglah, tak pernah-pernah seumur hidup aku ada orang awam datang cari gaduh dengan aku, lepastu ?” pintanya dengan nada sinis.
Namun, lelaki itu masih tidak puas hati.
“Eh, biadapnya kau ni? Kau umur berapa sebenarnya?”
Afini terdiam seketika. Soalan itu langsung tidak berkaitan dengan perbualan mereka. Namun, kerana rasa geram, dia tetap menjawab.
“Aku 18. Kenapa?”
Lelaki itu tersenyum kecil seolah-olah berasa lega.
“Oh, kita sebaya.”
“So what, man? Berjuta-juta lagi orang yang sebaya dengan aku. Kau nak aku kisah pasal kau ke?” Afini membalas kasar.
Dia tidak mahu melayan lebih lama. Jam sudah menunjukkan waktu yang agak lewat, dan dia tahu ayahnya sedang menunggu di luar.
“Dah lah, aku nak balik. Ayah aku tengah tunggu aku,” katanya sebelum segera berlalu dari situ.
Lelaki itu hanya memerhatikan Afini yang semakin menjauh sebelum mengeluh kecil.
“Fuh, nasib baik dia bukan lagi tua dari aku,” bisiknya sebelum melangkah ke kaunter untuk membuat pembayaran.
Berbekalkan masa terluang sementara menanti permohonan universiti dibuka, Afini membuat keputusan untuk bekerja di sebuah kafe bagi menambah simpanannya. Duit itu nanti boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan sewaktu dia melanjutkan pelajaran. Baginya, setiap ringgit yang diperoleh amat berharga, lebih-lebih lagi dengan keadaan keluarganya yang bukan dari golongan berada.
Encanto de Café—nama kafe tempatnya bekerja kedengaran cukup unik dan indah pada pendengarannya, meskipun dia sendiri tidak mengetahui maksud di sebaliknya. Dia tidak begitu peduli kerana apa yang lebih penting adalah peluang pekerjaan yang ditawarkan kepadanya. Mujurlah kafe itu sedang mencari pekerja, jadi proses mendapatkan kerja di situ agak mudah. Dia hanya memilih untuk bekerja sebagai pelayan kerana dia sendiri tidak mempunyai pengalaman dalam membancuh kopi.
Baginya, kerja itu hanyalah satu cara untuk mendapatkan wang. Itu sahaja.
“So, kaulah Afini… pekerja baru kafe ni?” Suara seorang lelaki menyapa dari arah kaunter. Dia tersenyum sebelum meneruskan, “Bienvenida. Kalau kau nak tahu, atau kalau kau tak tahu, kafe ni dah hampir bankrap sebab dah lama tutup akibat tak cukup pekerja. Thank God you’re here,” ujarnya dengan nada bersahaja.
Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Adrian, salah seorang pekerja yang sudah lama bekerja di situ. Bersamanya, seorang lagi pekerja bernama Maryam, yang bertugas sebagai pembancuh minuman di kafe tersebut. Afini hanya mengangguk perlahan, tidak tahu bagaimana harus memberikan reaksi terhadap kata-kata Adrian. Namun, sekurang-kurangnya dia tahu bahawa kehadirannya di situ bukanlah tidak bermakna.
Hari pertama bekerja, suasana di kafe lebih sibuk daripada yang dijangkakan. Mungkin kerana kafe itu baru sahaja dibuka semula, maka ramai pelanggan datang untuk mencuba. Afini tidak sempat berfikir panjang. Dia hanya melayan pesanan pelanggan satu per satu, memastikan segala pesanan dicatat dengan betul dalam tablet yang digunakan untuk membuat pesanan. Dia sedikit kagum melihat sistem yang digunakan di kafe ini, yang lebih moden dan mengurangkan penggunaan kertas.
“Order?” soal Afini dengan nada profesional kepada seorang pelanggan perempuan yang sedang membelek menu.
Perempuan itu merenung sebentar sebelum menjawab, “Hm, bagi saya Hot Cappuccino.”
Afini mencatat pesanan dengan pantas sebelum pelanggan itu kembali bertanya, “Oh ya, kenapa kafe ni ditutup sebelum ni ya?”
Afini mengangkat bahu tanpa memandangnya. “Ah, itu… saya tak tahu. Saya baru masuk hari ni,” jawabnya ringkas. Dia tidak mahu berbasa-basi terlalu lama. Ramai lagi pelanggan yang menunggu untuk dilayan.
“Oh, okay,” balas pelanggan itu sebelum kembali menunggu pesanannya.
Afini terus bergerak ke meja lain untuk mengambil pesanan pelanggan seterusnya. Satu demi satu pesanan dicatat dan dihantar kepada Maryam untuk disediakan. Lama-kelamaan, pelanggan semakin berkurangan. Mungkin kerana kebanyakan mereka sudah menuju ke tempat kerja masing-masing.
Afini menarik nafas lega. Akhirnya dia berpeluang untuk duduk seketika selepas berdiri sejak pagi tadi.
“Afini, kau nak kopi tak? Aku boleh buatkan!” tegur Maryam dari belakang kaunter apabila melihat keadaan sudah sedikit reda.
Afini menggeleng perlahan. “Tak apa, aku tak minum kopi,” balasnya, tangannya masih lincah menaip di telefon, membalas mesej daripada kawannya.
“Hm, okay,” Maryam hanya mengangkat bahu sebelum kembali fokus pada kerjanya.
Afini melihat jam pada skrin telefonnya—baru pukul 10 pagi. Syif pertamanya akan tamat pada pukul 12 tengah hari, kemudian dia akan menyambung kerja pada sebelah malam, dari pukul 9 hingga 11 malam. Dia sudah mengatur jadual kerja yang tidak terlalu padat agar tidak terlalu letih.
Tiba-tiba, sebuah cawan diletakkan di hadapannya.
“Nah,” ujar Adrian sambil menarik kerusi di hadapan Afini lalu duduk.
Afini mengerutkan dahi, memandangnya dengan penuh tanda tanya. “Kau kenapa? Aku baru cakap aku tak minum kopi.”
Adrian tersenyum kecil. “Ini coklatlah. Mana ada bau kopi,” jawabnya dengan nada tenang.
“Lah? Mana pula datangnya coklat?” tanya Afini, masih kehairanan. Namun, dia tetap mengambil cawan itu dan menghirupnya perlahan. Hangat coklat tersebut membuatkan tekaknya terasa lega.
“Kau memang tak tahu apa-apa pasal kopi ke? Kita kan ada mocha. Macam mana nak buat mocha kalau tak ada coklat?” jelas Adrian lagi sambil tersengih.
“Oh… mocha,” gumam Afini perlahan, seolah-olah baru memahami sesuatu yang sangat asas. Dia menghabiskan baki minuman dalam cawan sebelum meletakkannya semula di atas meja.
“Kau 18 kan? Result okay ke?” soal Adrian tiba-tiba, memandang Afini dengan riak ingin tahu.
Afini mengangguk perlahan. “Bolehlah…”
“Kau nak mohon universiti mana nanti?”
Afini menjelingnya sekilas. Aish, banyak tanya pula mamat ni. Namun, dia tetap menjawab kerana tidak mahu dianggap sombong.
“Tak tahulah,” jawabnya ringkas. Hakikatnya, jauh di sudut hati, dia sudah menyimpan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara—Oxford atau Harvard. Namun, dia tidak mahu terlalu berangan-angan. Dia juga tidak mahu dianggap berlagak jika menyebutnya.
Adrian mengangguk perlahan sebelum tiba-tiba bangun dari tempat duduknya. “Okay,” katanya pendek sebelum berlalu pergi, meninggalkan Afini terpinga-pinga di meja.