1 : Asap Peperangan
Asap masih mengepul dari reruntuhan bangunan di sempadan utara. Bau darah, kayu hangus, dan tanah basah memenuhi ruangan udara. Malam itu, bulan mengambang penuh menggantung rendah, memantulkan biasan cahaya pucat di permukaan pedang dan perisai yang berlumuran dengan tanah dan darah musuh.
Di medan perang yang lapang, tubuh-tubuh musuh dan tentera Mortalis yang terkorban terbaring, hening, hanya terdengar deruan angin yang mengibarkan bendera koyak. Setiap langkah membawa rasa sakit, setiap nafas terasa berat, dan setiap pandangan mengingatkan bahawa kemenangan datang dengan harga yang terlalu mahal.
Suara erangan dan helaan nafas tentera-tentera Mortalis yang terselamat pula kedengaran seperti desiran angin halus yang melintas. Di tengah-tengah dataran hancur itu, kelihatan berdiri akan seorang lelaki berpakaian perisai besi dengan corak ukiran naga di bahunya. Pedang panjangnya yang sudah sumbing bilahnya, dipegang erat akan gagangnya.
Vladius menghela nafas panjang. Kesan darah yang terpercik di pipi, dia kesatkan dengan tangan kanan. Hatinya gusar, merasakan kepahitan kemenangan—bukan semua yang menang kembali dengan selamat, dan kehancuran ini mengingatkannya pada harga yang dibayar oleh rakyatnya. Namun, di tengah kegelapan dan bau darah, ada sesuatu yang lain - keyakinan.
Matanya yang tajam menelusuri setiap sudut medan, menilai keadaan, mengira kekuatan yang masih berdiri, dan merancang langkah seterusnya. Vladius tahu bahawa Mortalis bergantung padanya. Bukan hanya sebagai pewaris takhta, tetapi sebagai perisai terakhir bagi rakyat dan negeri yang dicintainya.
Dia mendongakkan kepala seraya menarik nafas panjang, membiarkan angin malam menyapu wajahnya. Rasa takut dan gusar ada, tapi ia tidak melemahkan dia. Sebaliknya, ia menguatkan tekadnya. Dalam hatinya, dia berjanji - Mortalis tidak akan jatuh. Selagi dia berdiri, negeri ini masih punya harapan.
Di sudut pandangnya, kibaran bendera koyak itu tampak seperti mata yang menatapnya - mengingatkan bahawa tanggungjawab seorang pewaris adalah berat, dan kegelapan ini hanyalah permulaan dan tidak akan berakhir dalam jangka masa yang cepat.
“Berapa ramai tentera kita yang terselamat, dan berapa ramai yang terkorban, Ronan?”
Suara Vladius kedengaran menyoal dingin apabila dia sedar akan kedatangan seorang lelaki berambut panjang separa bahu itu di sisi kirinya.
Ronan menggeleng kepala sambil bercekak sebelah tangannya ke pinggang. Sebelah tangannya lagi masih tidak terlepas memegang sebilah pedang panjang. Darah merah yang masih terpalit di dahi dan di bawah dagunya itu, langsung dia tidak endahkan. Mata biru gelapnya meliar memerhati kawasan medan perang.
“Aku tak pasti, Vlad. Yang aku tahu, semua tentera dari Drakensgarr sudah berundur. Kita sudah menang.”
Ronan menjawab dengan nada suara selamba. Wajahnya jelas menunjukkan bahawa dia sudah lali dengan keadaan perang dan akibatnya. Melihat puluhan mayat yang berkecai dan bergelimpangan, itu bukan perkara besar baginya.
Vladius menggeleng kecil kepalanya, kemudian dia bergerak beredar dari situ. Tapak kasut but besinya kedengaran berderap berat setiap kali dia menghayun langkah. Ronan mengikuti dia dari belakang sambil menyandar pedang ke bahu. Angin malam masih menghembus kuat. Vladius mengangkat tangan kepada kesemua sisa tenteranya yang ada. Mereka semua berpaling kepadanya dengan riak muka keletihan.
“Kalian semua boleh berundur ke kem perang. Berehatlah. Rawatlah kecederaan kalian. Esok pagi, kita tunggu batalion tambahan untuk datang ke sini, kemudian kita bergerak ke benteng pertahanan kedua.”
Vladius memberi arahan dengan suara lantang. Mereka semua akur dengan arahan sang putera muda Mortalis tersebut. Perlahan-lahan mereka berjalan balik ke kem tentera yang terletak kira-kira 5 kilometer dari medan pertempuran itu. Ronan mendapatkan kuda untuk dia dan Vladius. Setelah memastikan tiada tentera yang tertinggal, mereka berdua bergerak meninggalkan kawasan tandus dan hancur tersebut.
Sebaik sahaja mereka tiba di kem tentera, Ronan dan Vladius bingkas turun dari kuda. Langkah mereka diorak deras memasuki kawasan kem tersebut. Bunyi erangan tentera yang menahan kesakitan akibat tusukan panah dan cantasan pedang kedengaran begitu bingit memenuhi gegendang telinga. Ronan menepuk bahu Vladius sebelum sempat sang putera tersebut memasuki khemah miliknya. Si lelaki berambut perang separa bahu itu berpaling.
“Kau yakin kau mahu teruskan menggempur tentera Drakensgarr esok pagi? Kita menang hari ini hanya kerana nasib, Vlad. Tentera kita perlukan rehat yang cukup. Kebanyakkan mereka tercedera, dan ada yang parah.”
Ronan menyuarakan pendapat. Vladius menggaru dahi dengan riak muka gusar. Mata kelabu kelamnya memerhati keadaan sekeliling. Benar apa yang dikatakan Ronan itu. Jika mereka bertempur esok, kemenangan belum tentu boleh diraih, dan lebih ramai yang akan terkorban.
“Batalion tambahan akan sampai esok pagi, Ronan. Kita boleh teruskan dengan mereka. Tentera yang tercedera tidak perlu-”
“Aku cadangkan kita berundur dulu buat masa sekarang. Kita rancang strategi perang yang baru. Peperangan tidak perlu gopoh, Vlad. Kita perlukan persiapan rapi. Alatan perang kita kebanyakkan sudah rosak dan sumbing. Bekalan makanan semakin berkurangan. Tentera kita takkan boleh bertahan dengan keadaan seperti ini, Vlad.”
Ronan mencelah sebelum sempat Vladius menghabiskan kata. Sang putera tersebut menghela nafas panjang. Pedangnya yang tersangkut di pinggang, dia lemparkan ke tanah - kemudian dia duduk di kerusi kayu dengan riak muka yang tidak berpuas hati.
“Sekarang Drakensgarr sudah lemah, Ronan. Jika kita tidak gunakan peluang ini, semua usaha kita selama tiga tahun bertukar sia-sia. Kenapa kita kena berundur sekarang?”
Vladius melepaskan kata dengan hati yang berbaur bengang. Ronan tersenyum kelat melihat putera negaranya itu tampak begitu letih dan bersarang dengan perasaan meluat. Vladius mendongak ke langit yang kelam, belakang tubuhnya bersandar ke kerusi kayu.
“Aku penat Ronan. Aku penat dengan semua perang yang sia-sia ini. Sudah hampir 200 tahun Mortalis dan Drakensgarr berperang. Ini tidak akan berakhir, Ronan.”
“Jika kau mengalah, Mortalis akan tumbang. Siapa yang tidak penat dengan peperangan, Vlad? Kau sabarlah. Jika kau macam ni, macam mana dengan moral tentera-tentera kita?”
Ronan cuba memberi semangat. Bahu sang putera muda itu ditepuk-tepuknya lembut. Vladius merengus kecil. Tangan Ronan ditepis dari terus menepuk bahunya itu.
“Jika ada hanya dua manusia yang tinggal di atas dunia, percayalah - mereka tetap akan saling berbunuhan. Bunuh atau dibunuh, itu fitrah sifat manusia, Vlad.”
Ronan menyambung kata dengan nada selamba. Vladius melirikkan pandangan dingin. Dia kembali bangun dari kerusi kayu sambil mengeliat kecil.
“Kita lebih buas dari binatang, Ronan. Aku akui akan kebenaran kata-kata kau. Baiklah, aku bersetuju dengan cadangan kau. Esok pagi kita semua berangkat balik ke Mortalis. Sampaikan berita ini kepada semua tentera kita. Batalion tambahan yang aku arahkan itu, batalkan saja. Sekarang, aku cuma mahu berehat dan balik ke istana.”
Vladius memberi arahan dengan nada mendatar. Suara itu jelas menunjukkan dia sudah letih dan hanya mahu berehat saja. Ronan menyimpulkan senyuman senang hati. Kepalanya diangguk kecil.
“Arahan Tuanku diterima dan akan dilaksanakan. Selamat berehat, Vlad. ‘Terra Mortalis, vita nostral!’ (Tanah Mortalis, hidup kami!)”
Ronan melaungkan slogan hidup rakyat Mortalis dengan gaya berbangga, kemudian dia terus beredar dari kawasan khemah milik Vladius. Sang putera muda menjungkit sebelah kening melihat gelagat kawan baiknya, dan juga selaku komander agung Mortalis tersebut. Tawa kecilnya terlepas dari mulut. Kepalanya digelengkan, kemudian Vladius terus masuk ke dalam khemah.
Melalui cahaya lampu obor yang menerangi ruangan dalam khemah perang itu, Vladius perlahan-lahan menanggalkan segala perisai besi yang melindungi tubuhnya. Terpapar pelbagai kesan peperangan di permukaan baju perisai besinya itu. Setiap libasan dan tetakan ada kisahnya yang tersendiri.
Sambil Vladius bersiap untuk berehat dan merawat luka di sekitar tubuhnya itu, kata-kata Ronan bermain di benak mindanya. Putera muda itu tersenyum seorang diri.
“Terra Mortalis, vita nostral. (Tanah Mortalis, hidup kami.)”