Gema dari Gelita
Malam Keempat Kejatuhan
Jumadilakhir, 917 Hijrah (Ogos, 1511 Masihi)
Sudah empat malam, Melaka menjadi sebuah kota bisu.
Ismail, seorang saudagar Betawi, menahan nafas di sebalik sisa runtuhan sebuah gudang rempah. Bau hangit dan hanyir darah kini sebati dengan udara malam, menggantikan haruman cengkih dan gaharu yang pernah menjadi kebanggaan bandar ini. Perintah berkurung yang dikuatkuasakan olehFeringgimenjadikan setiap lorong dan denai sebagai perangkap maut. Siang untuk mereka, malam untuk tikus dan arwah.
Dia bukan orang Melaka, tetapi Melaka adalah dunianya. Kapal-kapalnya, gudang-gudangnya yang penuh dengan lada dan sutera, serta janji-janji perdagangan yang tidak berkesudahan—semuanya kini menjadi debu atau harta rampasan. Dia terperangkap, sehelai sepinggang, dengan hanya sebilah badik tersisip di pinggang dan ingatan akan adiknya, Aminah, yang hilang dalam kekecohan tempoh hari.
Dari celahan dinding yang berlubang, dia dapat melihat pelabuhan. Bahtera-bahtera besar Feringgi berlabuh angguh di bawah cahaya bulan sabit, salib-salib di tiang layarnya kelihatan seperti tulang-tulang yang mencakar langit. Di darat, kubu besar Melaka kini menjadi sarang mereka. Sepi. Terlalu sepi.
Tiba-tiba, keheningan itu pecah.
Bukan dengan pekikan askar atau bunyi dentuman meriam, tetapi dengan satu bunyi yang mustahil. Bunyi yang datang dari zaman yang telah mati.
Pada mulanya ia hanya satu getaran di udara, kemudian ia membentuk menjadi satu alunan yang panjang, sayu, dan penuh wibawa. Hati Ismail tersentak. Dia kenal benar bunyi itu. Bunyitetuang, sangkakala perak yang hanya ditiup di atas bahtera laksamana agung atau semasa keberangkatan Sultan. Bunyi itu adalah suara kekuasaan Melayu.
Bunyi itu bergema, bukan sahaja di udara, tetapi seakan-akan menggegarkan asas kubu itu sendiri. Di menara kawalan, Ismail dapat melihat beberapa suluh bergerak-gerak kalut. Askar Feringgi pasti kebingungan. Bunyi itu tiada dalam kamus peperangan mereka.
Bagi Ismail, dan mungkin bagi setiap anak Melayu yang masih bersembunyi di dalam kota ini, bunyi itu membawa seribu satu rasa. Adakah Sultan Mahmud Syah telah kembali dengan angkatan baru? Adakah ini isarat serangan balas? Atau... adakah ini hanya gema dari semangat Melaka yang enggan mati, satu rintihan hantu dari dasar laut?
Matanya liar memandang ke arah laut, cuba mencari punca bunyi agung itu. Bahtera Feringgi masih pegun. Tiada satu pun perahu kecil di permukaan air.
Kemudian, dia melihatnya.
Di sebalik barisan kapal-kapal Eropah itu, satu lembaga gergasi muncul dari kegelapan malam. Ia bukan sebuah jong atau ghali. Bentuknya aneh, badannya hitam pekat seolah-olah ia diperbuat daripada malam itu sendiri, menelan apa sahaja cahaya yang cuba menyentuhnya. Tiada layar, tiada tiang, tiada dayung. Ia meluncur di atas air tanpa menghasilkan sebarang alunan ombak, bergerak dalam sunyi yang menakutkan.
Dan dari perut lembaga hitam itulah bunyi tetuang itu datang.
Bunyi itu bergema buat kali terakhir, panjang dan menusuk kalbu, sebelum senyap serta-merta. Keadaan kembali sepi, tetapi keheningan kali ini terasa lebih berat, lebih menyesakkan. Kapal misteri itu kini terapung pegun, sebuah pulau kegelapan di tengah-tengah selat.
Ismail terduduk lemah di sebalik dinding. Peluh dingin membasahi dahinya. Empat hari lalu, dunianya dihancurkan oleh manusia dari negeri yang asing dengan api dan besi. Malam ini, sesuatu yang lain telah tiba. Sesuatu yang menjawab kekalahan mereka dengan bunyi kemenangan dari sebuah kapal yang tidak sepatutnya wujud.
Soalan di benaknya bukan lagi “bagaimana untuk hidup,” tetapi “apa yang telah datang ke mari?”
Kapal hitam itu, yang dianggarkannya hampir dua kali ganda saiz bahtera Feringgi terbesar,Frol de la Mar, diam membisu. Ia tidak berganjak walau seinci, terapung megah seperti seekor pemangsa gergasi yang sedang bermain dengan mangsanya, menikmati debaran jantung mereka sebelum menerkam.
Kemudian, seperti ditarik dari udara, bunyi tetuang itu lenyap.
Keheningan yang menyusul hanya bertahan sekelip mata. Ia digantikan dengan satu bunyi yang lain—ngauman yang dalam dan garau, seakan-akan datang dari perut ribut itu sendiri. Bunyi itu bukan seperti sangkakala, tetapi lebih seperti raungan guruh yang terperangkap. Gegarannya meresap masuk ke dalam tanah, menggetarkan sisa-sisa dinding tempat Ismail bersandar, dan pastinya menggoncang keberanian setiap askar Feringgi di dalam kubu hingga ke tulang sumsum.
Ismail pernah mendengar cerita-cerita mabuk para kelasi tentang kapal hantu dan sumpahan laut. Tetapi ini bukan sebuah lagenda. Ini adalah sesuatu yang nyata, dan jauh lebih menakutkan. Ada rasa maut di udara, dingin dan tajam, seolah-olah kematian itu sendiri telah menjelma menjadi sebuah kapal.
Di atas tembok kubu A Famosa, Kapten Diogo Pereira memegang kemas hulu pedangnya. Ngauman yang menggegarkan itu membuatkan giginya berlaga. Askar-askar di sekelilingnya kelihatan pucat di bawah cahaya obor, mata mereka liar memandang ke arah laut yang gelap. Empat hari lalu, mereka adalah penakluk yang gah. Malam ini, mereka kelihatan seperti sekumpulan budak yang ketakutan.
“Demi Tuhan, apa itu?” bisik seorang leftenan muda di sebelahnya.
“Syaitan,” balas Diogo, matanya tidak lepas dari lembaga hitam di lautan. “Atau sesuatu yang lebih buruk.”
Bunyi itu telah membangkitkan seluruh garison. Ia bukan bunyi peperangan yang mereka kenali. Ia adalah bunyi dari neraka.
“Teropong!” laung Diogo, dan seorang askar segera menghulurkan sebuah teropong tembaga yang digilap.
Dengan tangan yang cuba dikekalkan tenang, Diogo mengangkat teropong itu ke matanya. Dia melaraskan kanta, melepasi kapal-kapal armadanya sendiri, dan memfokuskan pada kapal gergasi yang misteri itu. Permukaannya licin dan aneh, tiada sebarang tanda-tanda ia dibina oleh tangan manusia. Dia menggerakkan teropongnya ke bahagian yang kelihatan seperti anjungan atau geladak utama.
Kosong. Tiada sesiapa.
Dia menggerakkan teropong itu lagi, mencari sebarang tanda kehidupan. Dan kemudian, dia terhenti.
Di tengah-tengah anjungan itu, berdiri sesusuk tubuh. Tegap dan megah, memakai persalinan laksamana agung yang gelap warnanya, dengan potongan bahu yang lebar dan kolar yang tinggi. Ia bukan pakaian Eropah, mahupun pakaian pembesar Melayu yang pernah dilihatnya. Ia sesuatu yang asing, kuno, dan penuh kuasa.
Ketika kanta teropong itu tertumpu padanya, Diogo merasakan darahnya seakan-akan membeku.
Sosok itu sedang memandangnya.
Bukan sekadar memandang ke arah kubu, tetapi memandang tepat ke dalam kanta teropongnya, seolah-olah tiada jarak ratusan depa yang memisahkan mereka.
Dan sebelah matanya... sebelah matanya bernyala. Satu bara api merah yang dingin dan menusuk, membakar terus ke dalam jiwa Diogo. Dalam sekelip mata, Kapten Diogo Pereira, penakluk Melaka, seorang veteran yang telah mengharungi puluhan pertempuran, mengenali apa itu erti ketakutan yang sebenar.
Dia menurunkan teropongnya dengan perlahan, tangannya sedikit menggeletar. Fikirannya ligat berputar, cuba memadankan sosok itu dengan laporan-laporan perisikan yang pernah dibacanya. Hanya ada satu nama yang sepadan dengan aura kuasa sebegitu. Satu nama yang menjadi lagenda di rantau ini.
Sang Laksamana.
Cerita rasmi dari istana Melaka mengatakan Laksamana itu telah bersara, meletakkan jawatan kerana perselisihan faham dengan Sultan. Tetapi risikan Portugis dari Goa menceritakan kisah yang berbeza—bahawa Laksamana itu sebenarnya telah belayar jauh ke timur, mengetuai sebuah ekspedisi bersama ke Kerajaan Ryukyu. Kedua-dua cerita itu tidak masuk akal sekarang. Dia tidak sepatutnya berada di sini. Dan dia pastinya tidak sepatutnya berada di atas sebuah kapal hantu.
Diogo teringat akan butiran-butiran dalam laporan itu. Seorang lelaki misteri. Lahir dari kalangan rakyat biasa tetapi naik ke puncak kuasa. Seorang diplomat ulung yang mampu bertutur dalam semua bahasa utama di Timur, seorang ahli strategi laut yang tiada tandingan. Ada juga desas-desus liar yang mengatakan dia sebenarnya berdarah bangsawan, seorang putera yang disembunyikan.
Kini, lagenda itu berdiri di hadapannya. Dan mata yang bernyala itu seolah-olah memberitahunya bahawa semua cerita yang pernah didengarinya tidak cukup untuk menggambarkan kebenaran yang sebenar.
Tiba-tiba, kapal hitam itu mula bergerak. Bukan belayar seperti kapal biasa, tetapi meluncur senyap menuju ke muara sungai Melaka. Ia diselubungi kabus hitam pekat yang tebal, seakan-akan jubah kegelapan yang diseret bersamanya, menelan cahaya bulan di laluannya. Ia bergerak melawan arus tanpa riak air, seolah-olah ia terapung di atas permukaan laut, bukan di dalamnya.
“Deraman!” laung Diogo.
Seorang lelaki Melayu yang gempal dan berpakaian mewah bergegas menghampirinya. Wajahnya pucat seperti mayat. Deraman adalah seorang saudagar kaya yang telah berpaling tadah, memberikan maklumat penting tentang pertahanan Melaka kepada Portugis demi janji kuasa dan kekayaan. Malam ini, dia kelihatan seperti seorang lelaki yang telah menjual dunianya untuk abu.
“Tuan Kapten...” katanya, suaranya terketar.
“Kau kenal kapal itu? Pernah kau lihat sesuatu sepertinya?” desak Diogo.
Deraman hanya mampu menggelengkan kepalanya, matanya terpaku pada lembaga hitam yang kini mula memasuki kuala sungai. “Tiada... tiada sesiapa pernah melihat kapal seperti itu. Ia... ia bukan buatan manusia.”
Ngauman garau itu kedengaran lagi, kali ini lebih dekat, seakan-akan datang dari kapal itu sendiri yang sedang menuju ke daratan. Bunyi yang menghantui dan kegelapan yang dibawanya... ia mencetuskan sesuatu dalam ingatan Deraman. Sesuatu yang telah lama terkubur.
“Tetapi...” bisik Deraman, lebih kepada dirinya sendiri. “Ada sebuah cerita. Sebuah lagu dodoi yang dinyanyikan untuk menakutkan budak-budak...”
“Cerita apa?”
Deraman menelan air liur. “Tentang sebuah kapal mitos. Misteri siapa pemiliknya, tiada siapa tahu siapa yang membinanya. Ia belayar di laut dan di darat, datang dari kabus, membawa sumpahan atau keadilan... Lancang Kuning.” Dia memandang Diogo, matanya penuh ketakutan yang tidak dapat disembunyikan. “Kami selalu fikir ia hanya sebuah kisah dongeng.”
Di hadapan mata mereka, kapal hitam itu terus meluncur masuk ke dalam sungai, haluannya yang gelap kini sebaris dengan rumah-rumah dan gudang-gudang di tebing. Ia tidak sepatutnya boleh berbuat begitu. Ia sepatutnya sudah terkandas. Tetapi ia terus bergerak, sebuah lagenda ngeri yang menjadi nyata.
Kapal itu akhirnya berhenti sepenuhnya, terapung senyap di atas permukaan sungai yang gelap, hanya kira-kira seratus ela dari pintu gerbang utama kubu. Kedudukannya yang begitu hampir adalah satu penghinaan, satu cabaran yang terang-terangan.
Kemudian, dengan bunyi rantai besi yang mengerikan, dua lembaga hitam terlepas dari sisi kapal itu. Ia bukan sauh biasa. Ia adalah dua bongkah logam gergasi yang bergerigi, menjunam laju ke bawah.
Ia jatuh bukan ke dalam sungai, tetapi tepat ke atas sebuah karavel Portugis yang berlabuh berhampiran. Satu sauh menghentam bahagian haluan, satu lagi di buritan. Bunyi kayu pecah dan remuk bergema membelah malam. Dalam sekelip mata, karavel itu terbelah dua, patah seperti sebatang ranting kering di bawah hentaman yang dahsyat. Kapal perang itu tenggelam dengan cepat, seolah-olah tidak pernah wujud, ditelan oleh air sungai yang keruh.
Kapal hitam itu langsung tidak peduli. Ia berlabuh di atas bangkai kapal lain seolah-olah ia hanyalah longgokan sampah.
Bagi Diogo, itu sudah cukup. Lagenda atau syaitan, ini adalah satu tindakan perang. Ketakutan di dalam hatinya kini diatasi oleh kemarahan seorang komander.
“Ke posisi!” jeritnya, suaranya kembali lantang dan berkuasa. “Isi meriam! Sasar kapal itu!”
Askar-askar, yang sebentar tadi lumpuh ketakutan, kini tersentak dan bergerak pantas, didorong oleh perintah yang mereka fahami.
Diogo menatap tajam ke arah sosok Laksamana di atas anjungan kapal hitam itu, mata bernyalanya masih kelihatan walaupun tanpa teropong.
“Tembak!”
Dentuman meriam-meriam dari tembok A Famosa memecah malam. Peluru-peluru batu dan besi yang panas membara meluncur laju ke arah kapal hitam itu. Tetapi sesuatu yang mustahil berlaku.
Setiap peluru meriam itu menembusi badan kapal tersebut seolah-olah ia diperbuat daripada asap atau bayang-bayang. Tiada bunyi hentaman, tiada percikan api, tiada serpihan kayu. Peluru-peluru itu hanya melaluinya dan jatuh ke dalam sungai di belakangnya, menghasilkan kocakan air yang sia-sia. Kapal itu langsung tidak terjejas, terapung angkuh tanpa sebarang calar.
Askar-askar meriam tergamam, memandang dengan penuh rasa tidak percaya. Diogo sendiri merasakan jantungnya seakan-akan berhenti berdegup.
Kemudian, satu bunyi berdesing yang dalam kedengaran dari perut kapal hitam itu. Sebuah lubang besar terbuka di bahagian hadapannya. Dari kegelapan lubang itu, satu bebola logam yang jauh lebih besar daripada mana-mana peluru meriam mereka ditembak keluar dengan kelajuan yang menakutkan.
Ia tidak mensasarkan tembok kubu. Ia mensasarkan pintu gerbang utamanya.
Hentaman itu menghasilkan satu letupan yang memekakkan telinga. Pintu gerbang kayu jati yang diperkukuh dengan besi itu hancur berkecai menjadi serpihan. Askar-askar Portugis yang berkawal di belakangnya dan di atas tembok berhampiran lenyap dalam sekelip mata, tubuh mereka hancur lumat akibat kuasa hentaman yang dahsyat. Dengan satu tembakan, laluan masuk ke dalam kubu kini terbuka luas.
Keheningan yang menyusul lebih menakutkan daripada bunyi letupan tadi.
Kemudian, satu suara kedengaran, bergema di seluruh pelabuhan. Ia bukan jeritan perang, tetapi satu perintah yang tenang, tegas dan penuh kuasa. Suara Sang Laksamana.
“Bersiap untuk hentaman. Jaga bahtera ini dengan nyawa kalian.”
Suara itu bergema dalam bahasa Melayu yang sempurna. Belum sempat Deraman menterjemah, satu sahutan yang lebih kuat dan bersemangat kedengaran dari dalam kapal hitam itu, disahut oleh puluhan atau mungkin ratusan suara.
“Daulat Tuanku!”
Mendengar dua patah perkataan itu, wajah Deraman yang sedia pucat kini bertukar menjadi putih seperti kapas. Kekeliruannya lenyap, digantikan dengan satu tahap ketakutan yang baru.
“Tuanku?” bisik Diogo, menangkap nada suara yang aneh itu. “Bukan ‘Datuk Laksamana’?”
Deraman menggeletar. “Tuanku... itu gelaran untuk Raja. Untuk Sultan. Bukan untuk seorang Laksamana.” Dia memandang Diogo, matanya terbeliak. “Dia bukan sekadar Laksamana!”
Sebelum Diogo sempat memproses maklumat yang mengejutkan itu, bulan purnama yang mengambang penuh tiba-tiba memancarkan sinarnya ke atas anjungan kapal. Sosok Laksamana itu tidak lagi bersendirian. Dari bayang-bayang di belakangnya, dua lembaga tegap muncul di sisinya, bergerak serentak penuh disiplin. Salah seorang daripada mereka tunduk hormat sambil menghulurkan sebilah keris pusaka yang berhulu gading. Laksamana itu menyambutnya dengan tenang dan menyisipkannya di pinggang hadapan. Orang kanannya yang kedua pula membantunya membawa senjata yang lebih aneh: sepucuk rentaka kecil yang kelihatan berat dan padat, dan pada masa yang sama membantunya menyelitkan sepucuk pemuras yang muncungnya kembang di pinggang kanannya. Kini bersenjata lengkap dengan gabungan senjata tradisi dan api, Laksamana itu melangkah ke hujung hadapan kapalnya. Dia berdiri di situ seketika, jubah gelapnya berkibar ditiup angin malam.
Kemudian, dia melompat.
Bukan terjun atau memanjat turun. Dia melompat ke hadapan, ke arah kubu. Tubuhnya melayang di udara dengan keanggunan yang mustahil, seolah-olah graviti tidak berkuasa ke atasnya. Dia jatuh dari ketinggian yang sepatutnya membunuh, tetapi dia mendarat di tengah-tengah sisa pintu gerbang yang hancur tanpa menghasilkan sebarang bunyi. Dia mendarat dalam posisi melutut dengan sebelah kaki, penuh hormat dan mengancam pada masa yang sama. Hujung bilah kerisnya yang terhunus menyentuh tanah di sisi lutut kanannya, seolah-olah sedang merasa denyut nadi bumi pertiwi. Di tangan kirinya, rentaka itu dipegang kemas, larasnya dihalakan ke langit malam.
Di atas tembok, keberanian askar-askar Portugis hancur sepenuhnya. Mereka telah melihat meriam tidak lut, dan kini mereka menyaksikan seorang manusia terbang. Ini bukan lagi peperangan. Ini adalah penghakiman. Ramai yang mula menggumamkan doa dalam bahasa Latin, jari-jemari mereka laju membuat tanda salib, seolah-olah sedang berhadapan dengan hantu atau iblis yang menjelma.
Sang Laksamana perlahan-lahan bangkit berdiri. Dia kini berada di dalam kubu mereka, seorang diri, memandang mereka dengan mata bernyalanya yang dingin. Malam menjadi senyap sekali lagi, menanti langkahnya yang seterusnya.
Tiba-tiba, satu bunyi baru memecah keheningan. Bunyi paluan gendang perang, datang dari kapal hitam itu. Degupannya dalam, berat, dan mantap, seperti denyutan jantung seekor binatang gergasi. Setiap degupan itu seiring dengan setiap langkah Sang Laksamana yang mula berjalan perlahan-lahan ke arah mereka di atas tembok.
DUM... (satu langkah) DUM... (satu langkah) DUM... (satu langkah)
Bunyi itu bukan sekadar irama perang; ia adalah lagu kematian. Setiap degupannya tidak hanya menggegarkan udara, tetapi terasa seperti satu penukul ghaib yang menghentam dada, meremukkan tulang rusuk dan menyukarkan setiap nafas. Ia adalah satu niat membunuh yang begitu pekat sehingga ia menjadi satu tekanan fizikal yang tidak tertanggung.
Kemudian, Laksamana itu berhenti di tengah-tengah laman kubu. Dia mendongak, matanya yang bernyala menatap tepat ke arah Kapten Diogo Pereira. Apabila dia bersuara, suaranya bergema dengan kuasa yang sama seperti ngauman kapalnya. Diogo terkesima. Ia dalam bahasa Portugis—bukan sekadar fasih, tetapi sempurna. Loghatnya adalah loghat golongan bangsawan di Lisbon, diwarnai dengan alunan sastera yang tinggi, bukan bahasa pasar yang digunakan oleh diplomat atau saudagar. Ia adalah bahasa seorang pujangga atau putera raja.
“Tinggalkan tanah ini dan aku akan lepaskan nyawa kalian,” laungnya, setiap perkataan menusuk seperti bilah pedang. “Atau ingkar perintahku, dan aku akan pastikan lautan ini lupa akan kewujudan kalian.”
Keheningan yang menyusul selepas kata dua itu lebih berat daripada apa pun. Di sebalik runtuhan gudang, Ismail akhirnya dapat menarik nafas. Lagenda itu benar. Tetapi apa yang berdiri di dalam kubu itu? Seorang pembebas, atau satu semangat dendam yang tidak akan mengenal belas kasihan? Namun, kata-kata Laksamana itu memberinya sedikit kelegaan. Dia tidak datang untuk membunuh semua orang. Dia datang dengan satu tawaran. Satu peluang untuk penakluk itu pergi.
Di atas tembok, keadaan huru-hara. Askar-askar muda masih dalam penafian, berbisik sesama sendiri bahawa ini semua hanyalah satu tipu helah, sejenispukauatau sihir orang Melayu. Tetapi askar-askar veteran tahu apa yang mereka lihat. Ini bukan ilusi.
“Runding, Kapten! Demi Tuhan, runding!” jerit seorang sarjan tua, suaranya pecah ketakutan, tidak lagi peduli pada pangkat atau disiplin.
Askar-askar yang berada paling hampir dengan pintu gerbang yang hancur itu hanya mampu berdiri kaku, perisai dan tombak mereka terasa seperti mainan. Kaki mereka menggeletar. Merekalah yang akan menjadi orang pertama untuk mengetahui kebenaran di sebalik mata yang bernyala itu.
Sementara itu, Deraman tidak menunggu lebih lama. Dia tidak memandang ke arah Laksamana atau komandernya. Matanya meliar mencari bayang-bayang. Seperti seekor tikus yang terperangkap, dia sudah mula bergerak, menyelinap senyap di sepanjang dinding, mencari jalan untuk lari lebih jauh ke dalam kubu, menjauhi penghakiman yang sedang menantinya di laman utama.