Chapter 1
Aku benci cermin.
Bagi orang lain, cermin adalah alat untuk menilik kecantikan. Bagi aku, Arose Lyana, cermin adalah musuh yang sentiasa menjeritkan segala kekurangan aku. Setiap kali aku memandang pantulan diri, apa yang aku nampak hanyalah kulit wajah yang kemerahan dengan jerawat yang tak pernah surut, dan bentuk tubuh yang jauh daripada standard "idaman" lelaki.
Terutamanya lelaki sesempurna Irsyad Arshel.
"Kita sampai sini saja, Arose."
Suara Irsyad kedengaran mendatar di ruang tamu apartmennya yang mewah. Aku terpaku. Mug berisi kopi di tanganku hampir terlepas.
"Apa maksud you, Irsyad? Sebab I lambat bersiap tadi ke? I minta maaf... I cuma nak tutup kesan merah kat pipi ni, I tak nak you malu bawa I jumpa kawan-kawan you—"
"Sebab inilah I nak berhenti!" Irsyad memusingkan badan, memandang aku dengan renungan yang cukup dingin. "I penat, Arose. I penat dengan drama insecure you yang tak habis-habis."
Aku tergamam. Lidahku kelu.
"I tak kisah sangat fasal muka you yang berjerawat tu. I tak kisah pun you berisi atau tak," tipunya. Aku tahu dia menipu. Aku nampak cara dia memandang perempuan di gim yang bertubuh langsing. "Tapi I kisah sebab you tak pernah rasa cukup. You asyik tanya I kalau you buruk, you asyik menangis sebab baju tak muat. You menyusahkan emosi I, Arose."
"I... I cuma perlukan kata-kata semangat daripada you..." air mataku mula bertakung.
Irsyad mengeluh kasar, tangan diraup ke rambutnya yang kemas. "I bukan pakar motivasi you. I nak teman wanita yang boleh buat I rasa bangga bila I bawa keluar. Tapi setiap kali kita keluar, you asyik tunduk. You asyik sorok muka. You buat I rasa macam I ni bawa beban, bukannya teman wanita."
Dia berjalan ke arah pintu, mencapai jaket kulitnya.
"Irsyad, please... I sayang you. I akan cuba berubah. I akan diet, I akan pergi buat rawatan muka setiap minggu. Jangan tinggalkan I."
Aku cuba memegang lengannya, tapi dia menepis lembut. Tepisan yang lebih sakit daripada tamparan.
"Jangan buat untuk I, Arose. Buat untuk diri you sendiri. Tapi buat masa sekarang... I rasa I perlukan ruang. Ruang yang tak ada suara you merintih fasal kekurangan diri you."
Pintu dihempas. Bunyi kunci dipusingkan dari luar buat kali terakhir.
Aku melorot jatuh ke lantai. Di sudut bilik, cermin berdiri itu masih setia menayangkan sosok aku. Seorang wanita dengan mata yang bengkak, wajah yang comot dengan kesan jerawat dan air mata, serta tubuh yang terasa sangat berat untuk ditanggung.
Aku rasa sesak. Seolah-olah ada tangan ghaib yang mencengkam leherku, menghalang oksigen daripada sampai ke paru-paru. Irsyad bukan saja pergi, tapi dia bawa lari sisa keyakinan yang aku ada.
Aku memandang jari-jemariku yang menggigil. Betul kata Irsyad. Aku memang beban. Dan beban yang hodoh ini memang selayaknya dibuang ke tepi jalan.
Malam itu, hujan turun seolah-olah mengerti rentak hati aku yang remuk. Aku tak mampu nak bangun dari lantai. Aku hanya mampu mengheret tubuh ke katil, mencari telefon bimbit yang aku campak tadi.
Dengan tangan yang menggigil dan penglihatan yang kabur akibat air mata, aku buka galeri foto.
Album: Irsyad & Arose.
Aku tatal satu persatu gambar lama kami. Gambar setahun yang lalu, masa aku rasa aku paling bahagia.
Ada satu gambar selfie kami di tepi pantai. Irsyad tersenyum nipis—senyumannya yang mahal itu—sambil merangkul pinggangku. Waktu itu, aku nampak 'kurang sedikit' jerawatnya. Aku nampak sedikit 'kecil' daripada sekarang.
"You nampak okay hari ni, Rose,”*bisik Irsyad waktu gambar itu diambil.
"Tipu..." aku merintih sendirian. Suara aku serak, hilang punca.
Aku tatal lagi. Gambar Irsyad sedang makan, gambar Irsyad sedang memandu. Dan gambar aku yang dia ambil secara curi-curi. Dalam gambar itu, aku nampak dagu aku berlapis. Perut aku nampak berlipat di sebalik t-shirt.
Dulu, aku rasa gambar itu 'comel' sebab Irsyad yang ambil. Tapi sekarang, bila aku tengok balik... aku rasa nak maki diri sendiri.
"Patutlah dia bosan. Patutlah dia malu."
Aku beralih ke aplikasi Instagram. Jari aku secara automatik mencari nama akaunnya. Irsyad.Arshel.
Hati aku hancur berkecai bila nampak dia baru saja memuat naik story lima minit lepas. Gambar stereng kereta dengan kapsyen ringkas: “Finally, peace.”
Peace? Kehilangan aku adalah satu ketenangan buat dia?
Aku melempar telefon ke dinding. Bunyi dentumannya tidak sekuat bunyi jantung aku yang tengah pecah. Aku berlari ke bilik air, menyalakan lampu yang paling terang. Aku paksa diri aku memandang cermin bawah cahaya putih yang tajam.
Aku tarik baju aku ke atas. Aku picit lemak di pinggang dengan kuat sampai meninggalkan kesan merah. Aku sentuh jerawat di pipi sampai berdarah.
"Kau hodoh, Arose! Kau buruk! Patutlah dia tinggalkan kau!"
Aku menjerit pada pantulan sendiri. Setiap inci badan aku rasa macam musuh. Aku benci betapa besarnya lengan aku, aku benci betapa kusamnya kulit aku. Aku rasa tercekik dengan fizikal aku sendiri.
Malam itu, aku tidur di atas lantai bilik air yang sejuk, meringkuk seperti janin. Bertemankan gambar-gambar lama di dalam telefon yang skrinnya sudah retak—sama seperti jiwa aku yang sudah tidak punya apa-apa lagi.
-
Rasa sakit hati yang paling dalam selalu jadi pemangkin untuk perubahan yang paling gila. Pagi itu, aku bangun bukan dengan air mata, tapi dengan api yang mula marak dalam dada.
Pagi itu, cahaya matahari yang menembusi langsir terasa menyakitkan mata. Aku bangun dengan kepala yang berdenyut, tapi ada sesuatu yang berbeza. Perut aku lapar, tapi bukan lapar mahukan makanan ringan yang selalu aku makan untuk hilangkan stres.
Aku ke dapur. Dengan tangan yang masih lemah, aku potong buah epal dan bancuh segelas air suam dengan lemon. Tiada nasi lemak, tiada roti canai. Hanya makanan yang rasa "kosong", sama macam jiwa aku.
Sambil mengunyah, tangan aku gatal lagi. Magnet itu masih kuat. Aku buka Instagram.
Nama Irsyad Arshel ditaip di ruangan carian.
"Zup!"
Jantung aku rasa macam kena rentap. Post yang sebelum ini ada beratus, kini berkurang. Aku skrol laju-laju. Gambar aku masa hari jadi dia? Hilang. Gambar tangan kami berpimpinan di Genting? Padam. Gambar dia tulis kapsyen 'My Rose'? Lenyap tanpa sisa.
Dia dah buang aku. Bukan setakat dalam hidup, tapi dalam sejarah digital dia. Dan bila aku tengok senarai following dia... nama aku sudah tiada. Dia sudah unfollow aku, tapi dia sengaja tak remove aku dari pengikutnya. Dia nak aku nampak apa yang dia buat sekarang.
Aku buka story terbaru Irsyad.
Muzik berdentum kuat. Lampu malap berwarna ungu dan biru berpusing-pusing. Irsyad di situ, di tengah-tengah sebuah kelab malam. Tempat yang selama ini dia kata dia benci. "I tak suka tempat bising, Rose. I lagi suka spend time dengan you dekat rumah," katanya dulu.
Penipu.
Di sebelah Irsyad, ada beberapa orang wanita. Aku kenal mereka. Mereka adalah 'kawan-kawan' aku—si cantik yang selalu beri tips diet pada aku dengan nada mengejek. Mereka ada di situ dengan pakwe masing-masing, dan Irsyad duduk di tengah-tengah mereka dengan senyuman yang paling lebar pernah aku nampak.
"Haha..."
Aku tergelak sendiri. Bunyi gelak aku kedengaran psiko di dapur yang sunyi itu.
"Hebat permainan you, Irsyad. You kata I beban, tapi sebenarnya you cuma nak cari alasan untuk bebas dengan betina-betina ni?"
Sakit hatinya tak tertanggung. Rasa tercekik semalam berubah menjadi rasa menyampah yang membuak-buak. Aku nampak Irsyad sedang memegang gelas minuman sambil berbisik sesuatu di telinga seorang perempuan yang memakai baju nampak pusat. Pinggang perempuan itu jauh lebih ramping daripada aku.
Tanpa berfikir panjang, aku tekan punat tiga titik di profilnya.
[Block Irsyad.Arshel?]
"Yes. Pergi mampus."
Aku tekan Block. Sepantas kilat, profilnya hilang. Kosong. Macam mana dia padam gambar aku, macam tu aku padam akses dia ke hidup aku. Biarlah dia dengan kawan-kawan cantik aku tu.
Aku letak telefon bawah pinggan. Epal di mulut aku kunyah lumat-lumat.
"Kau nak perempuan cantik kan, Irsyad? Fine. I'll give you a masterpiece. Tapi masa tu nanti, jangan harap you boleh sentuh I lagi."
Aku bangun dan terus menuju ke arah tong sampah. Semua stok coklat, mi segera, dan makanan ringan yang selama ini jadi peneman aku masa aku sedih, aku buang semuanya.
Aku bukan lagi Arose yang merayu. Aku Arose yang akan buat Irsyad melutut balik sebab menyesal tinggalkan permata yang dia sangka kaca.










