Chapter 1
"Isabel, jangan melencong jauh sangat! Pulau ni masih belum diteroka sepenuhnya," laung Professor Khalid dari celah-celah semak samun.
Aku hanya mengangkat tangan sekilas, tanda mendengar laluannya tanpa berniat pun nak patuh. Itulah aku, Isabel Naiya. Seorang ahli arkeologi yang lebih selesa bekerja sendirian berbanding bersesak-sesak dengan ahli ekspedisi yang lain. Bagi aku, artifak purba takkan 'bercakap' kalau keadaan sekeliling bising dengan bunyi gergaji rantai dan rungutan tentang nyamuk hutan.
Kami baru sahaja mendarat di sebuah pulau terpencil yang tidak wujud dalam kebanyakan peta moden. Mengikut rekod usang yang aku temui di perpustakaan lama di Rome, pulau ini menyimpan rahsia peradaban yang hilang entah ke mana ratusan tahun dahulu.
Sambil memegang berus kecil dan kamera digital, aku melangkah setapak demi setapak memisahkan diri daripada kumpulan utama. Suara perbualan mereka semakin lama semakin sayup, digantikan dengan bunyi kicauan burung hutan dan deruan ombak dari jauh.
Mata aku tiba-tiba terpaku pada satu dinding batu gua yang dilitupi lumut tebal.
"Ada sesuatu kat sini..."bisik hati kecil aku.
Dengan penuh berhati-hati, aku mengikis lumut yang melekat pada permukaan batu menggunakan pisau palet. Jantung aku mula mengepam laju apabila satu lakaran purba mula kelihatan. Ia sebuah lukisan dinding (petroglyph).
Aku mengecilkan mata, cuba mentafsir imej tersebut. Di atas batu itu, terlukis gambar seorang lelaki bertanduk megah dengan sayap gelap yang besar, dikelilingi oleh api yang marak. Di bawah kakinya, bergelimpangan figura manusia yang melutut ketakutan.
"Lukisan tentang syaitan? Atau dewa kuno?" gumamku sendiri. Jari-jemari aku menyentuh garisan tajam pada lukisan itu. Tenaga purba seolah-olah mengalir keluar dari dinding batu itu, membuatkan bulu roma aku meremang seram sejuk. Mengikut anggaran tekstur batu dan hakisan, lukisan ini berusia sekurang-kurangnya 800 tahun.
Kerana terlalu khusyuk menyemak plot sejarah pada lukisan purba itu, aku terlupa untuk melihat ke mana kaki aku melangkah.
Buk!
"Aduh!"
Kaki kanan aku tersandung sesuatu yang keras dan licin. Tubuh aku hilang imbangan, membuatkan aku jatuh terduduk di atas tanah lembap. Kamera di leher terselamat, tapi punggung aku yang menjadi mangsa.
"Benda apa pula yang menyemak kat sini ni?" rungut aku geram sambil memegang pergelangan kaki yang sedikit sengal.
Aku berpaling ke belakang untuk melihat objek yang menyabotaj langkah aku tadi. Di sebalik timbunan daun kering dan tanah, kelihatan sebotol kaca tebal berwarna hijau gelap, hampir hitam. Bentuknya sangat unik—berleher panjang dengan ukiran kaligrafi aneh yang timbul pada permukaannya, disumbat ketat dengan penutup perak yang diikat rantai halus.
"Botol kaca? Kat tengah-tengah hutan pulau terpencil macam ni?"
Rasa sakit tadi terus bertukar menjadi keterujaan ahli arkeologi. Aku merangkak mendekati botol itu dan mencapainya. Botol itu terasa tersangat sejuk, seolah-olah ia baru dikeluarkan dari dalam peti ais, sedangkan cuaca hutan tropika ini cukup membahang.
Apabila aku mengelap debu pada botol tersebut, rantai perak yang mengikat penutupnya tiba-tiba berkarat secara drastik dalam masa sesaat sebelum putus dan hancur menjadi debu.
Papp!
Penutup botol itu terpelanting sendiri.
Serta-merta, angin kencang bertiup entah dari mana, menerbangkan dedaun kering di sekeliling aku. Suasana hutan yang tadinya terang dengan cahaya matahari yang menembusi kanopi pokok, tiba-tiba bertukar menjadi gelap gelita seperti waktu malam.
Dari dalam mulut botol kaca yang sekangkang kera itu, keluar asap hitam yang pekat dan berbau belerang serta besi. Asap itu berkumpul, berpusar di udara, membentuk satu entiti yang tinggi dan tegap sebelum perlahan-lahan bertukar menjadi susuk tubuh seorang lelaki.
Aku terpaku, terduduk di tanah dengan lutut yang menggigil. Untuk pertama kali dalam hidup aku, otak logik seorang saintis dan ahli arkeologi gagal berfungsi.
Apabila asap hitam itu hilang sepenuhnya, berdiri seorang lelaki yang tersangat tampan, tetapi auranya begitu menakutkan. Kulitnya pucat, rambutnya hitam pekat beralun, dan dia mengenakan pakaian hitam gaya bangsawan silam yang koyak-rabak. Dia membuka matanya—sepasang mata berwarna merah menyala bagikan bara api yang sedia membakar apa sahaja.
Lelaki itu memandang tangannya, kemudian memandang botol kaca di atas tanah, dan akhirnya, pandangannya yang tajam itu tertancap tepat pada wajah aku.
Satu senyuman sinis terukir di bibirnya yang merah mendedahkan sepasang taring kecil.
"Lapan ratus tahun..." Suaranya garau, dalam, dan bergema, membuatkan dada aku terasa sesak hanya dengan mendengarnya.
Dia melangkah mendekati aku. Setiap kali kakinya memijak tanah, rumput di bawah tapak kakinya terus layu dan mati hitam terbakar. Dia melutut di hadapan aku, merapatkan wajahnya sehinggakan aku dapat merasakan nafasnya yang dingin menepis pipi aku.
"Kau ke yang kejutkan aku dari tidur yang panjang ni, wahai manusia?"
Aku menelan air liur yang terasa kesat. "K-kau... siapa?"
Lelaki itu ketawa kecil, satu bunyian yang cukup seksi tapi mampu merentap nyawa. Jari telunjuknya yang berkuku tajam menyentuh bawah dagu aku, memaksa aku membalas renungan matanya yang merah menyala.
"Nama aku Ryo Sataniel Gran. Dan kau, budak bertuah... baru sahaja membebaskan Mr. Devil."
Sentuhan jari Ryo yang berkuku tajam di bawah dagu aku terasa seperti sebilah ais yang dihunus ke leher. Dingin, berbisa, dan amat merentap tangkai jantung. Otak logik aku yang tadinya lumpuh, tiba-tiba menghantar isyarat kecemasan yang paling kuat dalam sejarah hidup aku.
Lari, Isabel! Lari!
"N-nama kau... tak penting!"
Dengan sisa keberanian yang entah datang dari mana, aku menepis kasar tangannya. Aku terus merangkak ke belakang, berpaling, dan membuka langkah seribu tanpa menoleh lagi. Punggung yang sakit dan pergelangan kaki yang sengal tadi langsung aku lupakan. Yang aku tahu sekarang, aku kena jauhkan diri daripada makhluk gila ini.
"Professor Khalid! Helmi! Sara!" Aku menjerit sekuat hati sambil meredah semak samun, mengharapkan ada suara manusia yang menyahut.
Di belakang aku, kedengaran bunyi dahan-dahan pokok patah dan angin berderu kencang. Aku tahu dia sedang mengekor. Namun, setiap kali aku menoleh sekilas ke belakang, kelibatnya tiada. Hanya asap hitam samar-samar yang memburu langkah aku.
"Professor! Tolong!"
Nafas aku sudah lari dari rentak. Dada aku berombak kencang, terasa seperti mahu pecah. Selepas hampir sepuluh minit meredah hutan tebal dengan penuh ketakutan, cahaya terang mula kelihatan di hadapan. Bunyi deruan ombak semakin jelas.
Pantai!
Aku tersenyum lega. Ahli ekspedisi yang lain pasti ada di sana bersama bot karam dan peralatan perkhemahan kami.
Dengan langkah yang longlai, aku merempuh keluar dari kanopi hutan dan menjejakkan kaki ke atas pasir pantai yang memutih.
"Professor, tolong saya! Ada benda—"
Kata-kata aku mati di kerongkong. Langkah kaki aku terhenti serta-merta.
Pantai itu kosong. Sunyi sepi.
Khemah-khemah yang kami pasang tadi sudah tiada. Bot mekanikal yang membawa kami ke pulau ini juga sudah ghaib dari pandangan. Malah, jejak kaki manusia di atas pasir pantai semuanya telah terhapus, seolah-olah tiada sesiapa pun yang pernah menjejakkan kaki di sini sebelum ini kecuali aku.
"Tak... tak mungkin. Tadi mereka ada kat sini. Helmi! Sara! Korang kat mana?!"
Aku berlari ke hulu ke hilir di tepi pantai bagai orang hilang akal. Aku memandang ke arah laut luas, namun tiada sebarang bot atau kelibat manusia. Air mata mula bertakung di kelopak mata. Bagaimana sebuah pasukan ekspedisi yang lengkap boleh hilang dalam masa kurang daripada setengah jam?
"Aku dah kena tinggal ke? Atau... aku dah masuk ke dimensi lain?"
Tiba-tiba, udara di sekeliling aku bertukar menjadi terlampau sejuk sehingga nafas yang keluar dari mulut aku membentuk wap putih. Angin laut yang tadinya bertiup lembut, mati serta-merta.
Zasss!
Satu bayangan hitam berpusar laju di hadapan aku sebelum ia memadat, membentuk susuk tubuh tegap yang sangat aku takuti.
Ryo Sataniel Gran berdiri di situ, betul-betul di garisan ombak. Pakaian hitamnya yang koyak-rabak melambai ditiup angin mistik yang mengelilingi badannya. Dia menyilangkan tangan ke dada, memandang aku dengan senyuman sinis yang tidak pernah pudar dari bibirnya. Mata merahnya menyala dalam, seolah-olah sedang mentertawakan nasib malang aku.
Dia melangkah setapak demi setapak mendekati aku yang sudah terduduk lemah di atas pasir pantai. Sifat 'sekejap ada, sekejap hilang' miliknya benar-benar mendera mental aku.
Ryo berhenti tepat di hadapan aku, menundukkan sedikit badannya, lalu berbisik dengan nada suara yang cukup merdu namun penuh dengan ejekan.
"Nampaknya kau kena tinggal."
Langkah kaki aku kaku. Terpasak di tanah.