Prolog
Penderitaan telah bermula.
“Sudahlah! Dah 10 tahun saya asyik dengar alasan yang sama! Cukuplah,Johari. Saya tahu permainan awak. Awak kahwin dengan saya sebab terpaksa,kan? Kalau awak tak kahwin dengan saya,hidup awak sekarang ni masih di bawah telunjuk mak dengan ayah awak!"
Baju-baju yang tersusun di dalam almari diambil dan dimasukkan ke dalam beg baju. Wajah Puan Mariam dibasahi dengan air mata.
"Mariam,abang tahu yang abang salah. Abang gunakan Mariam dalam hidup abang. Tapi,tu semua dulu. Sekarang, abang sayangkan Mariam dengan anak-anak kita. Tolonglah,jangan tinggalkan abang.." Johari memujuk isterinya. Dia memegang isterinya namun tangannya lebih pantas ditepis.
Puan Mariam masih meneruskan mengemas baju-bajunya. Pujuk rayu suaminya tidak diendahkan. Hatinya sudah hancur apabila mengetahui perkara sebenar.
Perkahwinan selama 10 tahun yang dianggap sia-sia. Johari hanya mempergunakan dirinya untuk kepentingan diri sendiri!
"Mariam.. Anak-anak kita kecil lagi. Janganlah macam ni.."
Puan Mariam mengesat air matanya. Usai sahaja siap mengemas,dia memandang suaminya.
"Dah terlambat,Johari. Hati saya ni sakit sangat. Awak anggap saya ni apa? Tunggul kayu? Saya tahan hati dengan perangai awak selama 10 tahun. Awak biarkan saya susah payah mengandungkan anak-anak. Ada awak ambil peduli? Tak,kan?
Jadi,sekarang baru awak nak fikir pasal anak-anak? Tak perlu,Johari. Kita akan bercerai. Saya akan bawa Dina dan awak akan bawa Adam. Lepas urusan penceraian kita selesai,awak jangan cari saya. Awak uruskan sendiri Adam. Biar awak rasa kesusahan jaga anak. Bukannya tahu nak berjudi saja!"bidas Puan Mariam. Tajam matanya mencerlung wajah suaminya.
Puan Mariam pergi mengambil Dina yang ketika ini masih berumur setahun. Adam yang sedang bermain dengan adik perempuannya terpinga-pinga memandang ibunya.
"Ibu.. Adam nak main dengan Dina." Adam berlari-lari anak mendapatkan ibunya.
Puan Mariam memejamkan matanya dan menahan rasa sebak.
Tanpa memandang Adam dan suaminya,dia berlalu pergi. Johari memegang anak lelakinya daripada terus pergi mengejar ibunya yang semakin menjauh.
"Ayah.. Ibu nak pergi mana dengan Dina? Adam nak ikut.."
Adam yang ketika ini berumur empat tahun mula merengek dengan ayahnya mahu mengikut ibu dan adiknya.
Johari tanpa mengucapkan apa-apa. Dia hanya mampu memeluk anak lelakinya dan air mata seorang suami dan bapa jatuh jua ke pipi.
Maafkan ayah sebab tak mampu halang ibu pergi dengan adik.. Bisik hati Johari. Rasa kesal dan sakit di hati sehingga kini masih berbekas.










