u n
BANGUNAN sekolah yang gah berdiri itu direnung lama sebelum matanya beralih ke arah lain. Papan nama sekolah dipandang sekilas. Jelas sekali keputusan ini bukan di atas kehendaknya. Menghafal Al-Quran selama lima tahun? Ah, itu perkara paling mensia-siakan dia pernah lakukan!
"Kenapa Hani kena sekolah dekat sini? Hani nak sekolah macam orang lain juga. Semua kawan-kawan Hani belajar dekat MRSM." Dirinya mengeluh tika kakinya melangkah masuk ke perkarangan sekolah. Impiannya untuk sambung belajar di sekolah lain, terbatal serta-merta. Mahu sahaja dia bantah sekeras-kerasnya semasa sesi perbincangan kelmarin. Namun, sudah terlambat.
"Hani, sekolah ini sekolah yang terbaik. Lagipun, Hani dapat hafal kalam-kalam Allah dekat sini. Bukan semua yang diterima dan layak untuk masuk ke sini. Kita patut bersyukur dengan apa yang kita peroleh." Puan Khadijah menenangkan anaknya yang mula merungut. Sudah ditegur sikap anaknya tetapi tidak berubah langsung. Hani sekadar membalas dengan memaniskan muka. Malas dia mahu berbalah di sini. Tetap dirinya akan kalah.
Cuaca yang panas begitu terik. Tambahan pula, Hani memakai pakaian lengkap sekolah yang tidak tumpah seperti orang Arab di luar sana. Ikutkan hati, mahu sahaja dia menanggalkan semua ini. Lengannya mula merah-merah kerana kain sarung tangan yang tidak pernah dipakai sebelum ini. Tudung labuhnya sedikit menghalang jalannya untuk melangkah lebih laju. Sungguh menyiksakan!
Disangka pendaftarannya sekejap sahaja. Ini sudah satu jam lebih. Semua peraturan dan undang-undang mahu diterangkan. Tidak termasuk lagi dengan, yuran persekolahan dan yuran asrama sebagai penginapan. Sudahnya, dia hanya membiarkan pengetua bercakap seorang diri. Mungkin ramai yang mahu dengar tetapi bukan dia.
Sebaik sahaja tamat, terus dia menuju ke kereta. Barang-barangnya yang banyak itu dikeluarkan satu persatu sebelum menghela nafas panjang. Benar, dia rasa mahu lari dari sini dengan secepat mungkin. Dalam diam, dia tersenyum sendirian.
Tidak lama kemudian, kelibat kedua orang tuanya menghampiri dirinya yang sedang menyusun rancangan sepanjang berada di sini. Terlalu banyak idea yang muncul sehinggakan dia keliru mahu mulakan yang mana satu. Ada sahaja karenahnya.
Sempat juga, Puan Khadijah dan Encik Ismail menasihati anaknya di hadapan bangunan asrama. Sedikit sebanyak Hani terharu dengan keprihatinan mereka. Walaupun degilnya tidak mampu dilawan, tidak pernah lagi dia terlepas pandang tentang hormatnya pada kedua orang tuanya.
"Ingat pesan Umi dan Walid. Hormat orang yang lebih tua daripada kita. Dengar kata Ustaz dan Ustazah. Betulkan niat sebelum belajar dan cari ilmu Allah. Jagan bergaduh dengan kawan-kawan." Tanpa dipinta, air mata jernih Puan Khadijah terjatuh jua. Berat sungguh hatinya untuk melepaskan anak gadisnya. Encik Kamal turut memeluk anaknya bersama isterinya. Tidak disangka, anak yang dipelihara selama 13 tahun bakal menjadi Hafizah.
"Hani sayang Umi dan Walid. Terima kasih." Ucapan itu dibalas dengan senyuman. Tidak lekang mata Puan Khadijah merenung anak gadisnya. Sukar pula untuk pulang ke rumah. Pasti rumah mereka tidak seperti dulu yang sering ceria dengan telatah Hani.
"Umi dan Walid balik dahulu." Seraya itu lambaian dihadiahkan buat kali terakhir. Bukan mereka sahaja yang berdrama di hadapan ini, ramai lagi ibu bapa yang turut berat hati melepaskan anaknya. Semuanya hidup dalam kebahagiaan.
Perlahan-lahan Hani melangkah masuk ke dalam asrama. Tidak dihiraukan lagi air matanya yang sudah kering. Tudung labuh hitamnya habis basah dengan air matanya yang turun lebat seperti hujan. Usah di kata bahagian purdah yang terletak elok di paras hidungnya, lagi basah. Seketika, dia tersenyum di sebalik kain hitam yang menutupi sebahagian wajahnya.
AMIRUL menghayati iringan muzik yang baru sahaja dikeluarkan di YouTube. Iramanya begitu melalaikan sehingga tidak khusyuk solatnya. Teramatlah dia mendalami setiap bait-bait yang disampaikan.
Sedang dia dalam keasyikan, ibunya, Puan Kalsom memanggil dari tingkat bawah. Namun, Amirul hanya membiarkannya seperti angin yang dibawa bayu. Malas mahu melayan karenah ibunya. Ada sahaja benda yang perlu dia lakukan.
"Mirul! Teman Ibu pergi rumah kawan Ibu sekejap. Ibu ada beli kain untuk buat baju." Laungan Puan Kalsom dibalas dengan jelingan tajam.
"Hish orang tua ini! Kalau tak menyusahkan aku memang tak sah." Sempat lagi Amirul merungut seraya meletakkan telefon pintarnya ke tepi. Terus dia mengambil baju kemeja lalu menuruni anak tangga satu persatu.
"Kalau Ibu pergi sendiri tak boleh ke?" Masih lagi tidak mahu mengalah. Lagu yang dikeluarkan oleh Ali Gatie itu belum habis lagi diamati. Jika lambat, pasti sudah habis kerana ianya dipamerkan selama sejam sahaja. Katanya khas buat para peminat yang tidak henti-henti menyokongnya.
"Kamu mesti pergi. Lagipun, kamu yang kena pilih kain nanti." Hairan juga Puan Kalsom dengan sikap anaknya yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Malasnya tidak boleh dibincang! Pasti ada alasan yang dicipta untuk mengelakkan diri.
Akhirnya, Amirul bersetuju untuk menemani Puan Kalsom ke rumah kawannya. Jika berbalah, sampai bila-bila tidak habis. Kedua-dua pihak mahu menang. Sudahnya, baik salah seorang mengalah.
Sebaik sahaja sampai di rumah yang menjadi destinasi mereka berdua, kelihatan seorang wanita tua sebaya Puan Kalsom menghampiri. Segera Amirul keluar dari kereta. Dia hanya menyaksikan pertemuaan ibunya yang seperti sudah sepuluh tahun tidak berjumpa. Bukan main lagi, siap bertepuk tampar bagai.
"Eh, marilah masuk." Diingatkan mahu berkelah terus dekat luar. Kewujudan Amirul seolah-olah tidak wujud di ruang tamu itu. Entah-entah bayangannya pun tiada siapa perasan. Itulah nasibnya.
"Dengar cerita anak kau masuk tahfiz, betul ke?" Puan Kalsom mula menyoal siasat kebenaran yang sering dikatakan oleh penduduk taman.
"Alhamdulillah, rezeki dia." Rakannya, Puan Khadijah menghadiahkan secalit senyuman. Tidak disangka pula, berita itu tersebar begitu pantas sehinggakan penduduk taman lain juga boleh tahu. Benar, dia dan Puan Kalsom duduk di taman yang berlainan tetapi jaraknya tidaklah jauh seperti Pulau Pinang ke Kedah.
"Anak kau belajar dekat mana?"
Seketika bibir Puan Kalsom kelu dari sebarang patah perkataan. Malu mungkin. Melihatkan anaknya yang hanya bersekolah harian itu pasti dipandang rendah oleh kawannya. Jangan dikatakan tiada usaha untuk belajar lebih tinggi, lebih dari usaha mereka lakukan tetapi tiada rezeki. Sudah tercatat semuanya di Luh Mahfuz, siapalah dia untuk mengubah.
"Eh, aku balik dahulu. Esok aku ambil kain kau. Aku pergi dulu. Terima kasih eh Dijah." Segera dia bingkas bangun lalu menuju ke arah keretanya. Sungguh, dia jadi malu dengan soalan yang diajukan. Tebal mukanya menahan malu. Dipandang anaknya sekilas sebelum memberikan jelingan.
"Ibu nak esok kita pergi tahfiz yang ada dekat Rawang itu. Ibu mahu daftarkan kamu di situ. Lebih baik kamu mencari ilmu di sana. Tenang hati Ibu." Puan Kalsom membuat keputusannya sendiri tanpa perbincangan yang panjang.
"Mirul tak mahu!"
بسم الله الرحمن الرحيم
Baiklah, di sini saya menekankan cerita ini agak cringe dan juga clichè. Diharapkan anda semua yang membaca tidak menciplak karya saya ataupun mengambil semua idea mahupun sebahagian darinya. Segala yang ditulis merupakan idea dan pengalaman saya sendiri. Saya tak janji happy ending dan juga sad ending. Janji akan tamatkan buku ini je
-15 Jun 2020 Isnin-










