1
HARI pertama tingkatan empat. Tiada apa yang lebih teruk daripada berebut bilik air dan berasak-asak. Dari tingkatan satu Hani bersekolah di MRSM Baling. Jauh dari keluarga yang tinggal di bahagian pantai barat Semenanjung Malaysia.
Hani masuk ke dalam bilik air dan terus mandi.
Tunggu giliran? Peraturan itu bukan untuknya. Bukan berlagak hebat, bukan kaki buli sekolah. Apa yang membuatkan dia digeruni adalah kerana aura yang dimiliki. Sifat kepimpinan semula jadi, tidak sombong ilmu tetapi tidak mudah didekati.
Tiada siapa yang berani untuk mencari fasal dengannya. Kata-katanya sahaja sudah cukup untuk mendiamkan mulut seseorang.
Kedudukan Hani dalam bidang akademik sekolah sentiasa teratas. GPA sentiasa 4.0 sejak daripada tingkatan satu. Malah, namanya juga sangat terkenal dalam kalangan prankster kerana prank yang dilakukan setiap tahun sentiasa membuat orang lain kagum.
Tahun lepas, bersama dengan senior lelaki tingkatan 5, mereka memutuskan bekalan elektrik bangunan akademik
dan menyebabkan pengetua ataupun lebih mesra dipanggil Ayahanda terpaksa membatalkan ceramah berkaitan akademik yang sudah diulang berpuluh kali itu. Namun itu hanyalah permulaan. Dalam jeritan pelajar yang takutkan gelap, tiba-tiba satu layar putih terbentang bersama lampu spotlight menghala ke arah kain yang besar dengan ucapan “Semoga Panjang Umur, Ayahanda” dan kek hari lahir Ayahanda, Hani bawa masuk ke dalam Dewan Melati. Serentak semua pelajar menyanyi. Ironiknya, kejutan itu dirancang tiga hari sebelum hari lahir Ayahanda.
Cuma satu sahaja kekurangan Hani. Dia tidak pernah cuba untuk bersahabat dengan sesiapa. Kenangan ketika di tingkatan satu apabila dituduh mencuri oleh sahabatnya membuatkannya menjadi seorang yang memilih untuk bersendirian. Tidak suka dituduh perkara yang tidak dilakukannya.
Bangunan Akademik, Kelas 4 Alfa.
Seperti biasa, Hani pergi ke bahagian tempat duduk kegemarannya. Bahagian tengah, di bawah kipas.
Kakinya berhenti melangkah. Matanya tajam menikam susuk tubuh seorang pelajar lelaki yang sedang tidur di mejanya. Rakan sekelas hanya mengabaikan sahaja pelajar lelaki itu kerana mereka tahu Hani tidak suka urusannya diganggu. Hani meneruskan langkahnya dan duduk di sebelah pelajar lelaki itu.
Cikgu Idayu masuk berlenggang dengan tangannya membawa fail putih dan beg tangan. Ucapan salam diberi dan dibalas.
Cikgu Idayu menulis sesuatu pada papan putih dan meminta semua menyalinnya.
“Weh, yang kau guna tu pemadam aku!”
Hani menegur pelajar lelaki yang duduk di sebelahnya kerana pemadam itu bertanda segitiga.
“Pemadam ni aku punya la,” jawab pelajar itu perlahan.
“Aku tak nak gaduh sebab pemadam. Lepas guna, pulangkan. Jangan buat harta.” Hani mengingatkan.
“Masalahnya, ni pemadam aku.” Pelajar itu menafikan lagi.
“Aku baru buka tak guna lagi.” Hani tidak mahu kalah. “Aku pun baru buka juga, baru pertama kali guna.” “Apa masalah kau?” Hani menjeling.
“Kau kena PMS ke apa ni? Pagi-pagi nak cari fasal.” Lelaki itu tersenyum sumbing dah macam kambing.
“Kau jangan nak cari fasal la budak baru!” Hani membentak dengan nada yang agak tinggi. Angin dia kurang baik pada hari ini. Diri yang kepenatan dek baru sampai di maktab empat jam yang lalu memandangkan bas yang dinaiki mengalami masalah teknikal.
“Apa masalahnya ni?” Cikgu Idayu menghampiri. “Makhluk ni ambil pemadam tak nak mengaku,
cikgu.” Hani berkata perlahan. Dia sudah tidak larat dan
inilah yang akan berlaku sekiranya dia tidak cukup rehat, perangai kebudak-budakan akan keluar.
Pelajar lelaki itu berdiri. Hani memandang tepat ke arah mata pelajar itu. Subhanallah! Indah, matanya bercahaya.
Eh? Fokus Hani!
“Makhluk ini namanya Irfan. Pemadam itu memang pemadam saya.” Irfan tidak tahu kenapa dia perlu meneruskan pertarungan ‘pemadam’ ini. Tetapi, ada sesuatu yang menarik tentang Hani yang membuatkan dia tidak mampu untuk duduk diam sahaja.
“Cikgu!” Hani membentak.
Irfan yang agak bengang kerana pada hari pertama pertukarannya daripada MRSM Terendak, dia sudah terlibat dengan masalah perempuan mana entah ni. Hanya kerana sebiji pemadam 60 sen!
“Aku tahu nak buat apa.” Irfan menjeling pemadam itu dan terus membahaginya kepada dua.
“I hate you!” Hani memberi jelingan maut kepada Irfan. Berani budak ni kerat pemadam orang sesuka hati?
“Dah tingkatan empat pun masih guna pensel ke?” Gee, rakan yang duduk di belakang mereka bermonolog perlahan tetapi telinga lintah Hani dan Irfan cepat sahaja menangkap.
Dua jelingan maut super pedas dihadiahkan kepada Gee. Andai jelingan mampu membunuh, sudah tentu riwayat hidupnya sudah tamat.
Sungguh budak baru ini perlu dibasuh cukup-cukup dengan aku. Kau tunggu! Hati Hani membara. Dia duduk dan berlagak seperti kejadian tadi tidak pernah terjadi.
Kafe Indigo.
Mata Hani melilau mencari ruang kosong. Yes! Ada satu. Tapi ada junior perempuan. Ala, bukan nak makan makanan dia pun. Hani terus duduk di situ.
Si junior yang terkejut dengan kehadiran Hani terus mengangkat pinggan walaupun belum habis makan kerana menyangkakan yang dia sudah mengganggu tempat makan Hani, senior yang disegani.
“Belum habis makan, kenapa bangun?” tanya Hani.
Suaranya lebih lembut daripada biasa.
“A…kak t…tak kisah?” Si junior bertanya. Seperti satu keajaiban telah berlaku. Sejak orientasi dulu dia sudah dimomokkan dengan sifat garang Hani.
Hani melemparkan senyuman dan mengangguk.
Si junior tersenyum dan kembali duduk.
Hani dapat membau masalah! Gerak hatinya mengatakan bahawa sesuatu akan berlaku.
“Budak! Blah ni tempat kami!” Amy atau Hani gelar hamba, menghalau budak junior itu. Sudah biasa dengan senario itu, Hani biarkan sahaja. Dia tahu memang tiada siapa berani menghalaunya tidak kira senior apatah lagi junior.
“Woi hodoh, kau pekak ke?” Seorang daripada mereka menjerit.
Hani tersenyum sumbing. Ini budak baru masuk tak tahu peraturan.
Hani menjeling ke arah pinggan si junior. Hampir kosong. Pinggannya yang masih penuh pula dipegang.
“Dik, bangun ikut akak.” Hani berkata rigkas.
Kemudian dia terus bangun.
Ketika berselisih dengan ketua kumpulan itu, Hani berkata sambil tersenyum sinis. “Sis, kita tak ada masalah. Budak hodoh yang jerit tadi, sis tolong ajar elok-elok. Tak sesuai untuk group sis. Kalau saya yang handle tak fasal-fasal
semua rahsia terbongkar.” Hani menghulurkan mi goreng basahnya kepada pelajar yang menjerit tadi. Merah padam muka itu.
“Terima kasih akak.” Si junior tertunduk.
“Kalau dibuli, report dekat cikgu okey?” pesan Hani sebelum meninggalkan budak itu.
Baru sahaja berpaling ingin melihat budak itu, Hani seakan tidak percaya yang budak itu terus berlari dan memeluk seorang pelajar lelaki. Bila diamati, itu Irfan. Entah kenapa hati Hani rasa terbakar.
Tak guna punya Irfan! Baru hari pertama dah buat hal! Bentak Hani. Ah, lantaklah! Kenapa aku nak kisah?
Waktu riadah Hani diisi dengan perjumpaan atlet acara padang dan balapan. Tahun ini, Cikgu Aziz memilih untuk berlatih awal berbanding tahun sebelumnya memandangkan prestasi atlet yang sedia ada semakin merudum.
Sedang Hani mengikat tali kasutnya, satu pengumuman dibuat melalui corong pembesar suara.
“Perhatian kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai acara padang dan balapan, sila turun ke padang sekarang juga.” Pengumuman tersebut diulang sebanyak dua kali.
Hani berlari-lari anak ke padang. Beberapa budak balapan menegurnya. Dia hanya melemparkan senyuman dan melambai kembali. Setelah hampir lima minit menunggu, kawasan itu mula dipenuhi dengan muka baru.
Cikgu Aziz memberi sedikit ucapan sebelum mula mengasingkan pelajar mengikut acara tertentu.
“Siapa dia tu?” Fauza menunjuk ke arah barisan acara larian lelaki.
“Budak baru kut. Tak pernah nampak pun. Tenang sangat bila tengok muka dia. Kau rasa dia layan perempuan tak?”
Pelajar perempuan di sebelah yang Hani tidak pernah tahu namanya membuat muka miang. Dia tidak ambil pusing. Siapapun dia, tiada kaitan hidup dan mati dengannya.
Pemilihan untuk pelajar baru bagi acara larian jarak dekat dijalankan pada petang itu. Hani memilih untuk membantu cikgu mencatat masa larian bagi menambah bilangan mata meritnya yang bagai telur di hujung tanduk pada tahun lepas.
Kelompok pertama mencatatkan rekod yang biasa sahaja. Taraf wakil sekolah. Apabila kelompok kedua dilepaskan, tidak semena-mena padang menjadi bising dengan sorakan para gadis.
Sebaik sahaja peserta pertama sampai, jam randik terus di hentikan. 14.53 saat. Hani sendiri tergamam. Rekodnya telah dipecahkan. Apabila kepalanya diangkat, kelihatan Irfan sedang ditepuk-tepuk mesra oleh budak olahraga.
Cikgu Aziz terus mengambil jam randik yang dipegang oleh Hani.
“Nampaknya, rekod kamu sudah dipecahkan.” Cikgu Aziz bagaikan mencurah petrol pada api yang sedang marak. “Beza 0.31 saat cikgu. Bukan besar manapun.
Sayapun dah lama tak lari, apa salahnya saya sertai mereka
kan cikgu?” Hani cuba merawat egonya. Terus dia menuju ke kawasan saringan pelajar perempuan.
Peserta saringan perempuan mula gelisah dengan kemunculan Hani di situ. Sudah tiada harapan untuk menang, fikir mereka.
“Lari bawah 17 saat. Itu yang dikira.” Hani bagaikan tahu apa yang bermain di dalam minda mereka.
Apabila wisel berbunyi, Hani terus berlari sekuat hati mengalahkan pelari pecut Olimpik. Namun hampa. Rekod lariannya memang bertambah baik, tetapi tidak cukup untuk mengatasi rekod Irfan. Sungguh dia kecewa. Mujur rakan sepasukannya memberi pujian. Sekurang-kurangnya ego tingginya itu terubatlah juga.
Latihan ditamatkan setelah acara 100 meter berakhir. Setelah semua bersurai, Hani mula mengemas kon yang diletakkan sebagai tanda. Sikap malas pelajar lain memang sudah Hani tahu. Apa yang mereka tahu, semua barang akan tersedia dan dikemas tetapi mereka tidak pernah tahu siapa di sebaliknya.
“Kau memang selalu emo ya?”
Hani diam dengan teguran tiba-tiba itu.
Irfan tidak tunggu lama. Kalau dah tak nak jawab, baik dia chow. Tidak mahu ditangkap berduaan dengan gadis emo itu.
Menyedari pemergian Irfan, Hani berpaling. Kelihatan sebotol air mineral dengan nota kecil yang tertulis ‘Hani’ di atasnya. Plastik sampah yang sepatutnya dikemas oleh mak cik, si tukang cuci juga sudah tiada. Tanpa disedari, satu lengkungan terbentuk di bibirnya.
Air mineral itu diteguk tanpa rasa ragu. Tidak sampai tiga saat, air itu disembur kembali. Air garam? Tak guna! Irfan kau dah buat silap besar. Siapa yang bawa garam ke asrama? Dan yang lebih penting, siapa berani kenakan Hani?










