1
Bab 1
“DELTA ONE, point 89. Delta Two, point 75. Now!” Arahan dihadam lumat. Berbekalkan hanya sepucuk pistol Sig Sauer P226 dan jaket kalis peluru, pasukan pengaman yang disebut pergi ke titik panas pengeboman terbaru di bumi bergolak Syria.
Bunyi bom dan tembakan bukanlah perkara yang asing. Sejak tiba di sini seminggu lepas, bunyi-bunyian itu sudah menjadi ‘halwa telinga’. Mata Irfan terpandang sesuatu di hujung blok bangunan. Seorang lagi pengebom berani mati menekan alat kawalan yang berada di tangannya.
“Run!” Jerit Irfan sepatah tetapi cukup untuk memberi amaran kepada skuadron Delta Two.
Bom meletus pada tiga penjuru. Momentum kuat yang terhasil menyebabkan Irfan tercampak ke belakang menghentam kereta orang awam. Badan Irfan terasa berat bagai ada satu tan beban menghempap dadanya. Nafasnya mula sesak. Bau hanyir darah dengan jasad manusia tanpa roh bergelimpangan.
Toleh ke kiri kelihatan si ayah sedaya upaya melindungi keluarga kecilnya. Dipaksa ibu yang sudah penat berlari bangun dan mula melangkah lagi. Anak kembar yang belum mumayyiz didukung kiri dan kanan. Kedua-duanya senyap di dalam dakapan ayah. Ayah, pelindung terbaik. Mereka cuba mencari perlindungan. Ah! Di bumi yang sedang bergolak ini, kawasan perlindungan ibarat sarang labah-labah. Terlalu rapuh bila-bila masa sahaja boleh musnah. Diam-diam si ayah menangis mengenang nasib keluarganya. Anak-anaknya mencium wajah keruh ayah bagai cuba menyalurkan kekuatan.
Toleh ke kanan, lebih sadis. Anak lelaki dalam lingkungan usia dua belas tahun menggoncang tubuh ibunya yang sudah kejang sejuk. Darah dan debu yang membasahi bajunya tidak diendahkan. Langsung tidak diperduli jerit pekik anak kecil itu. Lengan ibunya ditarik berkali- kali.
“Umi... Umi... Qum! Qum!” Si kecil berambut perang itu memaksa ibunya bangun daripada lena. Mana mungkin ibunya yang sudah tidak bernyawa mampu menyahut seruan anaknya itu.
Hati Irfan bagai dirobek-robek. Pedih! Terbayang Furqan yang baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke 8 minggu lepas. Aqil dan Aqilah si kembar enam tahun yang sentiasa menceriakan harinya. Tiba-tiba terlintas wajah Hani buah hati pengarang jantungnya. Wanita tabah yang sanggup dimadukan dengan berjuta nyawa manusia. Rindu terlalu rindu akan insan-insan tercinta itu.
Bunyi dua das tembakan menyentakkan Irfan. Dia kembali ke dunia realiti. Terleka! Waktu bertugas emosi perlu dicampak jauh-jauh kerana nyawanya menjadi pertaruhan. Lalai sesaat, ibarat menempah maut dan kematian bukanlah sesuatu yang diinginkan pada detik ini.
Irfan mendekati budak lelaki yang sudah berhenti meraung tetapi masih teresak-esak di sebelah jasad ibunya.
Si kecil itu mengumpul kerikil kecil di tanah dan mencampakkannya dengan sepenuh hati ke arah Irfan. Berulang kali sambil menyuruh Irfan pergi daripada situ. Jasad ibunya digenggam erat dengan sebelah tangan. Tidak cukup batu, apa sahaja yang mampu dicapai dibaling ke arah Irfan. Langsung tidak ada riak ketakutan pada wajahnya. Mungkin dia tidak mampu menggenggam senjata untuk mempertahankan negara tanah tumpah darahnya tetapi cukup dia melindungi jasad ibunya.
Irfan biarkan sahaja sambil terus mendekati anak itu. Biarlah, apalah sangat kesakitan yang dirasai berbanding keperitan anak itu. Irfan menunjukkan Jalur Gemilang yang tertampal pada lengan kanannya sambil menghulurkan tangan mengajak anak itu ke kem perlindungan.
Anak itu berhenti membaling. Dia kenal bendera itu. Pernah diberitahu dan ditunjuk oleh ibunya. Walaupun ada persamaan dengan bendera Amerika Syarikat, namun bulan dan bintang yang berada pada warna biru membezakan antara dua negara itu.
“Malayzia... Malayzia” Irfan menyebut nama negara kebanggaannya dengan lajhah arab kepada budak itu.
“Umi...”Si anak melihat ibunya sayu.
Andai sahaja lelaki berbaju celoreng di hadapannya ini datang lebih awal. Andai sahaja mereka dijumpai sebelum pengebom yang tidak berakal apatah lagi berhati perut itu meletupkan bom yang ke lapan pada minggu ini. Andai sahaja...
Andai sahaja tidak mampu mengubah takdir Tuhan. Kita diuji kerana Allah sayang. Itu yang dipesan oleh ibunya pada saat-saat helaan nafas terakhir.
Tidak membuang lebih banyak masa, anak kecil itu cuba diangkat. Dia meraung kesakitan. Kakinya patah!
Irfan memberi bantuan kecemasan mudah dengan mengikat kayu pada bahagian kaki yang patah. Anak itu didukung ke dalam trak pasukan pengaman PBB. Jasad ibunya pula diusung oleh anggota Delta Two yang lain.
Irfan dapat merasakan ketakutan anak kecil itu. Tubuhnya menggigil dan berpeluh sejuk. Pastinya kesakitan tidak tertahan sedang ditanggung.
“Ma Ismuka?” Irfan bertanya nama anak itu sekadar untuk membantu anak itu tenang.
“Qawiy... El... Furqan.” Jawabnya dengan nada terlalu perlahan dan tersekat-sekat.
Tersentak lagi Irfan. Furqan? Ya Allah, Kau hantarlah rasa rindu ini kepada dia sampaikanlah pesanan bahawa papa Furqan terlalu rindu. Lindungilah dia, kembar dan Hani di bawah lembayung rahman dan rahim-Mu.
Daripada nada suara anak itu, dia menghadapi trauma dan sedang bergelut dengan kesakitan. Namun, persis namanya Qawiy, dia seorang yang kuat. Sehingga kini, dia masih bertahan.
“Aina Abuka?” Di mana ayah kamu?
Soalan ini agak sensitif ditanya namun menjadi tugas Irfan untuk menjejak siapa sahaja ahli keluarga Qawiy yang mungkin masih berada di sekitar kawasan ini.
Qawiy melemparkan pandangan kosong. Nafas ditarik dan dihembus perlahan.
“Abi? Fil... Jannah...” Jawab Qawiy sambil jari kecilnya menunjuk ke arah langit.
Suaranya sebak namun tangisan ditahan. Sudah puas dia menangis hari ini. Kata ibu, tangisan tidak akan dapat mengembalikan ayahnya. Cukup sekadar dia berdoa kerana doa anak yang soleh mampu membantu ayahnya di alam sana.
Mengingati pesanan si ibu, Qawiy mengangkat tangan kecilnya.
“Allahummaghfirli zunubi waliwalidayya warhamhuma kama rabbayani saghirah.” Doa itu berulang kali meniti bibir Qawiy.
Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang, memelihara dan mendidikku sejak kecil
Surah Al-Isra’ : Ayat 24
Satu Skuadron tidak dapat menahan sebak. Masing-masing mengalirkan air mata. Air mata terharu, sedih, kesal, rindu. Bercampur baur perasaan mereka kerana doa tulus seorang anak kepada kedua orang tuanya. Irfan mengucup lembut dahi anak itu kemudian diusap rambutnya.
Qawiy dibawa ke kem perlindungan dibawah panji PBB dan diberi rawatan selanjutnya oleh pasukan perubatan daripada MERCY Malaysia.
“Patah kaki.” Irfan memberitahu doktor yang menerima Qawiy.
Dari pandangan mata Irfan, doktor lelaki itu masih muda mungkin dalam lingkungan pertengahan 20-an. Irfan sangat kagum dan senang melihat semangat pemuda itu. Tidak ramai anak muda yang mempunyai jiwa sukarela sepertinya.
“Qawiy dear little boy this might be a little bit hurt be strong okay?” Doktor itu membuka ikatan kemas yang dibuat oleh Irfan dengan perlahan-lahan.
“Can you sing? Any song that makes you happy?” Doktor itu mahu membantu Qawiy menenangkan dirinya namun Qawiy langsung tidak berkutik. Dia tidak faham bahasa yang digunakan oleh doktor itu.
Irfan pantas menjadi penterjemah tidak rasmi. Diberitahu kepada Qawiy permintaan doktor muda itu.
Qawiy mengangguk lemah.
“Bismillahirrahmanirrahim... ArRahman...” Suara kecil Qawiy memenuhi ruang minda Irfan.
Surah ArRahman, pengubat jiwa bersifat universal paling mujarab!
Khemah perubatan terdiam mendengar kemerduan suara Qawiy.
Doktor itu menyambung tugasnya memeriksa kaki Qawiy. Tulangnya tidak patah cuma retak. Prosedur rawatan untuk kaki retak dijalankan sambil mendengar alunan merdu Qawiy melafazkan kalimah suci tanpa sedikitpun kesalahan. Walaupun tidak berlagu namun tajwid dan makhraj hurufnya cukup sempurna bagi seorang kanak-kanak dua belas tahun.
Wahai ayah dan ibu Qawiy, ketahuilah kalian telah berjaya mendidik anak kalian menjadi anak soleh yang mempunyai semangat jihad tinggi. Generasi celik Al-Quran yang mengetahui dan mengamalkan ilmu Al-Quran yang dipelajari mungkin sejak dalam kandungan lagi. Kasih sayang terhadap keluarga dan penerimaannya terhadap Qada’ dan Qadar tersangat hebat. Andai sahaja semua umat Islam mempunyai jiwa setegar Qawiy, pasti kemakmuran atas nama Islam mampu kembali menyinari alam.
Sungguh, tidak pernah Irfan rasa serindu ini kepada keluarga kecilnya di Malaysia. Hani ditinggalkan dengan Furqan yang baru memasuki dunia mumayyiz. Mengenal antara batu dengan najis walaupun masih tidak tahu beza kaca dengan permata. Si kembar double trouble yang periang dan amat lincah. Tanggungjawab ke atas Syarikat Syukur Travel Agency sudah mula digalas oleh Hani yang sukarela ingin mengurangkan bebannya.
Hendak ditelefon, talian tiada. Hendak berskype macam melampau lah pula.
Aduh hati, sabarlah!
Dua hari lagi, abang pulang sayang!










