Prolog
“PEMETIK API.”
“Mak!” Melatah aku dibuatnya. Terperanjat punya fasal, pemetik gitar terlepas dari genggaman, mendarat betul-betul di tepi saliran tanpa penutup penuh di hujung jalan. Kelam kabut pemetik gitar dengan rona jingga kekuningan itu aku kutip dengan kepala yang terus menekur lantai. Membisu walaupun aku tahu bahawa renungannya sedang tepat dan tajam menikam seluruh mukaku.
“Dengar tak? Aku nak pemetik api.” Agak berang, jari dipetikkan betul-betul di depan aku kerana aku tidak menyahut. “Ke aku tengah cakap dengan tiang lampu?”
“Tak… tak ada,” takut-takut aku membalas.
“Apa dia? Tak dengarlah. Cakap kuat sikit!”
Terangkat tinggi bahu aku apabila dia menyergah aku sebegitu. Lambat-lambat aku membuka mulut, “tak… tak ada. Saya tak ada pemetik api.”
Long Rep tampak terpempan. Tangan kasar serta berurat itu tetap menghulur ke arah aku. Masih tiada sebarang tanda akan ditarik rapat ke tubuh. Rambut keriting panjang yang menutupi sebahagian besar wajah dibiarkan sahaja terjuntai melepasi dahi, mencecah sepasang kening hitam lebat yang terurus rapi.
Ombak pada dada itu turun dan naik, silih berganti. Di hujung helaan nafasnya, garau yang sama menambah bicara. “Tak tahu pulak kau ni spesis lebih kurang sama macam Chik Pi. Old school.”
Long Rep tampil mendekat.
Menadah tangan, masih, tegak berdiri bertentangan denganku.
“Dan aku percaya spesis old school sekurang-kurangnya wajib ada mancis.”
Old school? Mancis?
Apa kaitan?
“Mancis.” Rahang Long Rep tampak lebih laju bergerak-gerak. Aku sedar akan mulutnya yang hendak menyembur bicara terhenti bilamana ada tangan yang selamba menghulurkan sekotak mancis sebagaimana yang diminta.
Kotak dengan saiz tapak tangan tersebut disentak ke belakang. Terbuka rongga jendela kepada isi tiga per empat penuhnya.
“Lain kali mintak dengan budak atas umur.”
Chik Pi.
The old school Hanafi.
Long Rep tergelak halus. “Ketua syaitan dah datang.”
“Sebelum ketua setan ni betul-betul tumbuh tanduk setan… diam.”
Bertambah besar ilai tawa Long Rep. Sebatang daripada keseluruhan isi mancis dikeluarkan. Digeserkan kepala mancis pada permukaan kasar kanan kotak, mencipta sebuah geseran dalam sekali percubaan. Hujung puntung rokok gulung buatan sendiri lantas disua pada api yang menyala. Api yang sama kemudiannya dipadamkan dengan sekali hayunan kasar di udara – salin tidak tumpah bak melupakan geseran yang tidak lagi diperlukan jasanya.
Sekali sedut.
Kepulan asap dihembuskan tenang ke udara.
Aku yang tidak biasa dengan tajam asap rokok yang tidak sengaja kusedut terus mengundur beberapa tapak, menjauh dari berada dekat dengan Long Rep. Tenggorok, mata dan hidungku menjadi pedih. Ladung mataku juga berat. Seraya terbatuk-batuk, mulut aku tekup. Nyaris-nyaris terlanggar bucu kerusi batu yang ada di belakang.
Tajam renungan Long Rep menikam wajah aku.
Aku perasan itu.
Di antara celahan jemarinya yang runcing dan besar, batang rokok tadi diapit. Diketuk-ketuk kemudian dengan jari telunjuk. Abunya jatuh berguguran ke atas tanah yang sedikit lembap. Lebihnya dibawa hembusan angin di pertengahan jalan.
“Dia tak merokok.” Chik Pi yang membaca situasi terus jadi tukang jawab.
Kepala Long Rep tertoleh ke arah punca suara.
“Kenapa?”
“Perlu ada sebab ke?”
“Semua benda di atas dunia ni bersebab, Pi. Jangan cakap yang kau baru kenal aku semalam.”
“Merokok tak baik untuk kesihatan. Boleh mati cepat.”
“Mengarut.” Asap dihembuskan lebih kasar kali ini. Di atas kerusi batu yang bertentangan tempat aku berdiri, saling berbalas renungan tajam kepunyaannya sama Chik Pi. “Budak tu dah tiga belas tahun dah pun, Hanafi. Dia boleh buat keputusan dia sendiri.”
“Aku tak percayakan dia.”
“Atau kau tak percayakan diri kau sendiri?”
Aku tersentak. Segera anak mata Chik Pi aku cari sebelum pandangannya terus beralih ke tempat lain apabila menyedari itu. Malah, aku juga keliru dengan dehaman kecil yang muncul diikuti ketidakendahan dia akan sindiran tersebut.
Wajah Long Rep lalu dipandang, kosong. “Dah habis membebel?”
“Belum.”
Abu puntung rokok jatuh lagi.
Setengah rokok habis disedut, kali ini.
“Dia dah besar panjang.” Tegas suara Long Rep kedengaran. Lipatan kaki kekal dengan kanan di atas yang kiri. “Kalau bukan sekarang dia nak belajar, bila? Sampai ke sudah dia tak akan jadi anak jantan.”
Chik Pi berpeluk tubuh. Keyboard yang baru hendak diangkut ke tempat duduk belakang van sekadar dibimbit pemegangnya. “Kau sebenarnya nak kutuk dia ke… nak kutuk aku?”
“Dua dalam satu.”
“Aku tak merokok. Elok aje jadi jantan, jadi lelaki, jadi kawan kau?”
“Kawan? Kita pernah kenal ke?” Pulang paku buah keras Long Rep.
Chik Pi merengus halus. Kasar, perkasas demi perkakas muzik dimasukkan ke dalam kotak. Gaya melutut di atas jalan seolah-olah mencari posisi paling sesuai untuk membelasah anak orang. Lebihan wayar hitam digulung lalu diikat menggunakan tali. Dua hujung wayar penghubung ditemukan. Dicucuk terus ke dalam polisterin sebelum disimpan bersama perkakas tadi. Kekal membisu sehinggalah lebih kuat helaan nafas berbunyi. “Merokok tak baik untuk kesihatan.” Pernyataan tadi diulang lagi. “Kau tak pernah dengar ke peribahasa… mencegah itu lebih baik dari mengubati?”
“The same old school and traditional Pi is back, always with the lame scripted textbook,” sampuk Long Rep, tidak menunjukkan minat untuk memberi perhatian.
“Dia tak boleh tahan bau asap rokok dan dia budak bawah umur. Dibuatnya dia tercekik sebab tertelan asap, tak ke naya aku nak menjawab depan mak dia?”
“Apa susah? Kau jawab aje… beginilah suratan takdir.”
“Kau sebenarnya tak dengar kan… apa yang aku cakap tadi?”
“Dengar, tapi aku putuskan untuk tak dengar,” katanya sembari menguis-nguis kawasan di sekitar lubang telinga dengan hujung jari kelengkeng. “Sebab kedua-dua kenyataan dan kau membosankan aku.”
“Jangan jadi bodoh sombong, Rep.”
“Jangan sibuk kain orang lain, Pi. Kisahkan kain rabak kau sendiri.”
Chik Pi terdiam sejenak.
Berpaling sudahnya.
“Suka hati engkaulah,” jawabnya tanpa nada sebelum menonong membawa diri ke trunk van, menyusun kembali alat-alat muzik yang telah sedia ada tersusun rapi.
Bulu roma aku meremang.
Aku tidak suka akan suasana sebegini.
Tegang.
“Bach!”
Tersentak.
Dari kejauhan, Chik Pi melaung sembari melambai lebih dari paras kepala.
“Sini kejap.”
Aku pegun. Teragak-agak mahu membuka langkah. Malah, bernafas juga terasa lebih sukar. Tidak pasti apa yang boleh dan tidak boleh untuk aku lakukan pada waktu ini. Pertelingkahan kecil tadi masih berdenging-denging di tepi telinga aku.
“Bach.”
Kepalanya terjengul dari sisi trunk van.
Pandangan matanya… lebih redup.
“Sini.”
Lebih lembut.
“Pergi ajelah.” Seolah-olah mampu membaca fikiranku, Long Rep menyampuk. Kepulan asap rokoknya dihembuskan ke udara, entah untuk kali yang ke berapa. “Aku pun tak ada mood nak bertekak malam ni. Dia dah panggil tu, pergi aje,” ulangnya.
Sesaat.
Tiga saat.
Dia menoleh apabila aku masih belum berganjak.
“Atau… kau nak duduk sini, lepak dengan aku?”
Gehhh!
Sepantas kilat aku membuka langkah. Tindakan refleks. Langsung menoleh itu tidak termasuk di dalam kamus hidupku apakala melibatkan nama lelaki itu. Memang mati hidup balik pun aku tidak mahu!
Chik Pi yang sedang mengeluarkan sesuatu dari dalam dompetnya yang tampak sedikit lusuh aku dekati. Tatkala aku menjenguk sedikit dari tepi bahu bidangnya, aku ternampak beberapa helai wang kertas ralit dikira.
Tahu-tahu sahaja, sepertiga dari jumlah yang aku tidak tahu disua.
Aku terperanjat. “Apa ni?” tanya aku.
“Ambiklah. Buat belanja.”
“Kata tadi kita buat untuk suka-suka?”
“Ini upah untuk suka-suka tu.”
“Upah?”
Bicara aku dibiarkan tergantung tanpa tali di kala pergelangan tanganku diraih lalu dipusingkan. Telapak tangan aku tertadah ke atas. Dalam keadaan tanganku yang separa menggenggam itu, Chik Pi pantas menyelitkan wang kertas yang rapi digulung. Kelima-lima jariku ditolak hampir serentak, mengatup tadahan tersebut dengan upah yang dimaksudkan tersimpan kemas di dalam genggaman penuh.
Terangkat wajah aku.
Masih keliru.
“Pi…”
“Kepala, Bach.”
Tangan yang sama tidak semena-mena menolak lembut kepala aku supaya aku menunduk sedikit. Trunk van ditutup dalam satu kali cubaan. Belakang van kemudian ditepuk beberapa kali sembari melontar lalu menangkap gugusan kunci di udara.
“Dah malam ni.” Long Rep dipandang sekilas lalu. “Kita balik.”
“Aku drive.” Long Rep memberi cadangan.
Mata mereka kemudian bertemu.
Dan aku sekadar berdiri di tengah-tengah, silih berganti merenung kedua-dua wajah yang masih tidak melakar sebarang bentuk ekspresi itu.
Dan-dan Chik Pi menuju ke tempat duduk pemandu, melabuhkan punggung di situ, menghidupkan enjin sebelum menutup rapat daun pintu.
Pinggir bibir Long Rep terangkat tanpa sedar. Tergeleng-geleng, puntung rokok dicampakkan ke atas jalan. Hujungnya yang malap menyala dicucuh api sebentar tadi dipadamkan dengan beberapa kali pusingan separa bulatan pada hujung jari kaki yang beralaskan selipar dengan tona kelabu kehitaman. Rambut disuak ke belakang, diikat malas dengan lebihan getah jingga yang diperoleh ketika membeli sirap limau ikat tepi berdekatan gerai ikan bakar, tempat busking yang ditempah Chik Pi beberapa minggu yang lalu.
“Oi, budak.”
Bahu aku terangkat, terkejut disergah secara tiba-tiba.
“Tak nak balik ke? Atau dah rancang nak tidur sini? Bawah meja tu?” candanya dengan mulut yang menjuih ke arah kawasan makan dengan deretan meja makan dan kerusi yang ditelangkupkan.
Aku yang selama ini hanya reti menekur lantai kini memberanikan diri untuk mendongak, hanya untuk menyedari keberadaan parut yang melalui kening sehingga ke ekor mata dari anak rambut berhampiran telinga.
“Parut…”
Spontan, mulut aku tekup. Tidak menyedari perkataan itu sebenarnya terpacul dengan cukup jelas dan kuat dari mulut aku.
Long Rep, anehnya, tidak pula terperanjat apalagi menghadiahkan aku jelingan tajam seperti yang sering dilakukan kepadaku. Tangan kirinya diangkat tinggi separas muka. Kesan parut yang menyamai panjang jari telunjuknya disentuh dengan hujung tiga jari utama. Dioles senyum penuh makna apabila aku memalingkan wajah, enggan berselanjaran menjadi saksi utama kepada sesuatu yang mungkin aku tidak patut tahu dari mula.
“It’s funny.”
Suaranya kedengaran mendekat.
“Pi was all afraid to look me in the eyes, too.”
Hujung kaki aku dan kepunyaannya bertemu.
Rapat.
“Takut?”
Di tepi telingaku, suara garaunya berbisik halus. Kedua-dua tangan diselukkan ke dalam kocek seluar jeans rabaknya. Tubuh sengaja direndahkan agar mulutnya dan telinga aku repang.
“Aku tak buat kau rasa takut? Parut aku tak buat kau rasa takut?” Bertalu-talu dibisikkan itu di tepi aku. “Kau dan aku tahu yang parut ini bukan parut yang senang dapat. Bukan dapat sebab cuai atau leka. Bukan juga dapat sebab potong buah.”
Bahang nafasnya menyentuh cuping telingaku.
Kelopak mata aku terpejam, rapat.
“Mungkin aku orang jahat. Kau percaya?”
“Ches… Chester.”
Mati kata, Long Rep seolah-olah terkesima.
Takut-takut aku membuka mataku semula.
“Chester,” ulangku. “Abang… abang suka Chester. Abang suka keyboard. Abang suka semua benda tentang muzik. Orang… orang yang sukakan muzik tak… tak… tak mungkin orang yang jahat,” tergagap-gagap aku membalas, entah dari ceruk dunia mana memperoleh keberanian sebegitu.
“Chester… who?”
Lidah aku kelu, tidak menjawab.
Bennington.
Dia lebih tahu. Dia yang memperkenalkan aku dengan nama itu.
Dan tidak semena-mena Long Rep ketawa.
Lebih kuat dan jelas ilainya.
“It’s funny.”
Kepalaku terasa berat. Telapak tangan kirinya menangkup hampir sebahagian besar kawasan kepala aku. Keras di situ, menghalangku daripada memanggung wajah.
“You’ve grown up a little.”
Dahi aku kemudian dijentik.
Halus, cuma.
Aku menekup dahi aku manakala dia masih tertawa.
Ikhlas. Seperti itu lantunan gemanya.
“Tapi nanti bila dah besar, dah mula nak teroka dunia luar, jangan nak ikutkan sangat filosofi sampah Hanafi tentang orang yang sukakan muzik tak mungkin orang yang jahat itu. Cukuplah ada seorang aje spesies old school dalam hidup aku.”
Tangan yang masih belum sepenuhnya ditarik ke tubuh sepertinya terapung di udara, lembut menyentuh hujung helaian rambut hitam lebat aku. Sepasang matanya terpaku di situ tanpa sebarang bicara selanjutnya walhal dia tahu…
Di dalam sepasang itulah terletaknya semua tumpuan aku.
“Bakri.”
Suara garau itu memanggil…
Menggunakan nama sebenar aku.
Aku menengadah.
Lancar pergerakan kepala aku. Tidak lagi ditentang seperti selalu.
Parut panjang merentasi tepi dahi tidak lagi menjadi tatapan sulungku. Hujung bibir pucatnya lambat-lambat terangkat, mempamerkan sejenis sungging yang belum pernah aku saksikan sepanjang kami bertemu.
Dan dia, sepertinya…
Lebih selesa begitu.
“Terus jadi budak baik.”