Bab 1
THE Q LIBRARY CAFÉ. Nama kafe itu sudah tidak asing lagi di bandar ini walaupun baru dibuka. Pemiliknya merupakan seorang penulis dan peniaga kedai buku yang berjaya. Qasreena Tasneem. Itulah nama insan tersebut.
Kafenya itu baru sahaja dibuka seminggu yang lalu tetapi, sudah mempunyai ramai pelanggan.
Qasreena memandang jam yang melekat pada dinding biliknya. Selalunya dia hanya melihat jam tangannya untuk mengetahui jam tapi disebabkan kejadian pagi tadi, jam tangannya telah menjadi milik orang lain.
Teringatkan peristiwa yang berlaku di antara dia dengan seorang kanak-kanak lelaki itu tadi, membuatkan bibirnya mengukir senyuman nipis. Kanak-kanak lelaki itu sememangnya telah membawanya ke masa lalu.
Jam sudah menunjukkan jarum di angka 7.00 malam. Kerusi ditolak ke belakang untuk bangun berdiri.
Beg tangan berwarna mint yang terletak di atas meja kerjanya itu dicapainya kemudian, disangkutkan pada bahu kirinya. Suis lampu, kipas dan penghawa dingin dimatikannya sebelum melangkah keluar dari dalam bilik.
Keluar saja dari biliknya, kelihatan library café miliknya itu dipenuhi ramai pelanggan. Nasiblah kafenya ini ada ramai pekerja.
“Shahira, saya keluar eh? Apa-apa telefon saya.” beritahunya kepada Shahira yang sedang menikmati makan malamnya dengan ditemani Lee Zii Jia yang sedang beraksi di gelanggang badminton.
Dia terus memandang ke arah majikannya berdiri tegak di hadapannya sekarang ini. Senyuman manis diukir. “Okay, bos.”
“Dah masuk set yang ke berapa?” soal Qareena. Sengaja untuk merapatkan hubungan dengan pekerjanya.
Shahira tersengih apabila soalan itu keluar dari mulut majikannya. “Masih set yang pertama, bos.”
“Oh..”bibirnya membentuk bulat sambil kepalanya terngangguk-angguk.
Shahira hanya simpul senyum lalu menyambung makan malamnya. Waktu rehat makan malam dan solat maghribnya hanya 40 minit sahaja maka, dia perlu makan cepat kerana masa rehatnya hanya tinggal 7 minit. Kalau makanan dia ini sikit, bolehlah kot dia makan perlahan-perlahan. Tapi kalau nasi pun dah penuh sepinggan besar ni, awak rasa?
Dalam hati dia mengeluh juga kerana tidak dapat menonton Lee Zii Jia beraksi sehingga tamat perlawanan pada malam ini. Kena sambung kerja! Sedar diri lah woi!
“Okay..saya pergi dulu.” Qasreena terus berlalu meninggalkan Shahira seorang diri di dalam bilik rehat pekerja.
Keluar sahaja dari kafe, dia terus melangkah menuju ke arah tempat letak keretanya. Dia letak keretanya di hadapan kafe saja.
Punat bersimbol unlock yang tertera di remote keretanya itu ditekannya.
Qasreena masuk ke dalam kereta Hilux Revo berwarna putih miliknya itu. Enjin kereta mula dihidupkan. Wangian lavender di dalam keretanya itu mula menusuk ke dalam ruangan pernafasannya apabila penghawa dingin kereta dipasang.
Matanya memandang ke arah pintu masuk kafenya. Matanya dikecilkan sedikit melihat dua orang perempuan yang tercegat dihadapan pintu kafenya. Kenapa tidak masuk saja?
Ahh..lantaklah mereka mahu berdiri di sana sampai kafe tutup sekalipun asalkan tidak menghalang laluan pelanggannya yang keluar dan masuk kafe.
Handbreak diturunkan. Kemudian, gear kereta ditolak ke huruf R untuk mengundur kereta. setelah kereta diundur, gear bertukar ke posisi D.
Qasreena memandu laju menuju ke restoran The Utopia. Restoran itu terletak kira-kira 9 kilometer dari kafenya.
Sebenarnya, malam ini adalah kali pertama dia akan berkunjung ke restoran itu. Nadira. Sahabatnya itu meminta Qasreena menemani dia bertemu dengan teman lelaki yang sudah 3 tahun tidak bertemu. Qasreena yang menawarkan dirinya untuk menemani Nadira malam ini walaupun Nadira menolak. Malam kot, bukannya siang. Kalau siang pun, dia tidak akan biarkan Nadira bertemu Adif seorang diri.
Belum sempat Qasreena melepasi lampu isyarat berwarna kuning, lampu isyarat bertukar kepada warna merah. Kakinya menekan paddle break. Handbreak dinaikkan. Gear bertukar kepada huruf N.
Pejalan kaki mula berpusu-pusu melintasi jalan raya. Qasreena hanya memerhati setiap orang yang melintas jalan itu. Ada bermacam-macam bentuk fizikal dan paras rupa manusia yang dia lihat. Ada yang pendek, tinggi, cantik, kacak dan bermacam-macam lagilah.
Kalau ditanya bagaimana bentuk fizikal dan rupa parasnya. Dia seorang yang mempunyai bentuk badan yang kurus dan tinggi. Orang kata, dia mempunyai rupa paras yang menawan. Buktinya, kerana bentuk fizikal tubuh dan rupa parasnya yang full packages, dia pernah menjadi perhatian semasa berada di sekolah menengah dahulu. Kebetulan dia juga merupakan seorang pelajar yang pandai, memang ayat ‘dah lah pandai, cantik pula tu’ akan sentiasa didengari olehnya. Tak tipu, dia tak suka dengan ayat itu. Semak weh!
Semak. Rasa semak kerana dia tahu tiada orang yang akan membazirkan air liur untuk menuturkan ayat itu untuknya jika mereka mengetahui kehidupan peribadinya. Bukan bersangka buruk tetapi dia tahu sifat manusia. Dia sendiri pun manusia dan itu membuatkannya sangat kenal manusia. Dia dikenali sebagai pelajar yang datang dari keluarga kaya kerana perwatakannya. Padahal setiap hari hatinya tidak tenang.
Tentang bagaimana orang sekeliling boleh menganggapnya seperti seorang anak orang kaya, dia sendiri kagum dengan dirinya yang berjaya mengaburi mata orang sekelilingnya walaupun perkara itu berlaku tanpa dirancang olehnya. Berkali-kali dia menafikan, tiada seorang pun yang percaya malah memujinya.
Benarlah kata ayah, diri kita akan sentiasa dinilai berdasarkan pandangan orang sekeliling, bukannya kehidupan kita yang sebenar. Itu hakikat sebenar dunia walaupun kau fikir harta dan rupa bukan penentu kepada sesuatu perkara.
Ayah. Ayah bukan seorang yang kaya malah jika ditanya berapa wang yang ada di dalam poket ayah sewaktu dia dan adik-beradiknya sedang berada di dalam fasa membesar? Jawapannya, nilainya sebenarnya tidak mampu menampung kehidupan mereka 7 beranak. Tapi makan pakai keluarga mereka sentiasa cukup dan tidak pernah kurang. Jika kurang sekalipun, tidak mencapai waktu yang lama untuk ditambah semula. Satu sebab mengapa ia terjadi adalah kerana ayah mempunyai satu sifat yang sentiasa ingin memajukan diri. Ayah tidak suka dipijak manusia.
Dan dia..mengapa dia boleh menjadi begitu disanjungi?
'Kadang-kadang kau perlu pegang watak antagonist di dalam cerita hidup orang lain untuk jadikan cerita hidup kau lebih menarik di mata semua orang’.
Dia teringat akan ayat yang pernah dia dengari daripada mulut seseorang suatu masa dahulu . Bibirnya mengukir senyuman sinis sebelum tangannya menurunkan handbreak kereta. “Bodoh aja ayat dia.” dia menggeleng-gelengkan kepalanya saat bayangan insan yang menuturkan kata-kata itu berkunjung ke fikirannya.
Lampu isyarat kuning bertukar kepada hijau. Kakinya menekan paddle minyak untuk meneruskan perjalanannya menuju ke restoran yang ingin ditujunya.
“AWALNYA KAU, QAS.” Nadira duduk di sebelah Qasreena.
Qasreena menyimpan telefon ke dalam poket seluarnya. Dia tak bawa beg tangan seperti kebanyakan wanita bawa ke sana ke mari.
Apa gunanya poket seluar direka pada seluar jika dia perlu membawa barang seperti dompet dan telefon di dalam beg tangan yang semestinya mempunyai kebarangkalian untuk tertinggal di mana-mana tempat dan akan menyusahkannya untuk mencari semula. Seminggu mencari, bukan dia yang menemui tetapi lelaki kacak yang datang memulangkan semula beg tangan kepadanya. Katanya, ‘saya jumpa beg awak ni kat tepi longkang. Awak punya, bukan?’ penuh dramatik.
Dia bukan berangan tetapi pengalaman menjadi pelajar sekolah yang terpaksa membawa beg sekolah dan beg pensil ke mana-mana telah cukup untuk membuktikan bahawa penggunaan beg tangan adalah amat menyusahkan. Sudah berkali-kali tahu dia terpaksa berhadapan dengan masalah yang sama dan berpunca daripada benda yang sama iaitu beg. Berkali-kali jugalah dia terpaksa berhadapan dengan lelaki-lelaki kacak yang sudi memulangkan beg sekolahnya. Dalam berkali-kali tu, tak ada pernah sekalipun dia dibantu oleh perempuan. Semuanya berjantina lelaki. Kerja lelaki memang membantu perempuan ya?
“Saja datang awal..aku mana suka orang tunggu aku.”
Qasreena ni jujur cakap pasal diri sendiri ataupun menyindir dia yang datang lambat ni? “Kau menyindir aku datang lambat kah apa ni?” dia pandang Qasreena atas bawah.
“Eh..mana ada.”
“Kita janji jumpa pukul 8 kan? Kau datang tepat masa kot tadi..” Qasreena tergelak kecil.
“Ermm..” Nadira hanya mengangguk.
“Mana Adif kau ni?” soal Qasreena.
“Adif mesej, dia kata diorang singgah masjid sekejap nak solat isyak. Kau boleh tunggu kan? Tak lama tu..mesej ni dia hantar 20 minit yang lalu.” jawabnya sambil tangan lincah menaip di atas skrin telefon untuk membalas mesej Adif.
“Aku okay aja.” takkanlah nak marah orang lambat sebab singgah masjid untuk solat?
“Okay.” syukurlah Qasreena okay. Selalunya Qasreena akan berceramah tentang masa dan janji kalau ada orang yang lambat. Mungkin kerana Adif dan temannya itu pergi ke masjid jadi, Qasreena tak marah.
Qasreena memandang Nadira bersama senget.
“Apahal kau senyum macam tu, weh?” jarang dia lihat Qasreena senyum sebegitu.
Qasreena masih bersama senyumannya.
“Apa?”
“Kau sebenarnya tak sabar nak jumpa Adif kan?” teka Qasreena. Ya lah, kalau tak kenapa Nadira nampak resah semacam saja.
Apa?! Nadira ternganga mendengar ucapan sahabatnya itu. Tidak mampu hendak berkata apa-apa. Blur benar dia dengan perangai Qasreena yang tiba-tiba ceria ni.
“Takut Adif tak datang kan?”
“Kan? Eh jawablah..jangan nak malu sangatlah” Qasreena senyum mengejek.
‘Kawan aku ke ni?’ soal Nadira di dalam hati. Dalam masa yang sama, dia senyum meleret kerana malu. Memang betul pun dia takut Adif tak datang.
“Erm..yalah kot.” Nadira tergelak kecil.
“Dah agak.”
“Hey, girls!”
Serentak mereka berdua mengangkat kepala. Bibir Nadira mengukir senyuman. Teruja!
“Adif..” serunya perlahan. Matanya tidak lepas memandang Adif.
Qasreena hanya senyum memandang Adif yang langsung tidak memandangnya itu sebelum matanya jatuh kepada lelaki yang berdiri di sebelah Adif. Adif pun bawa kawan juga ya?
Qasreena memerhati lelaki yang hanya berpakaian kasual itu. Diperhatikannya lelaki itu dari bawah hingga ke atas. Sampai sahaja pandangannya ke bahagian atas iaitu wajah lelaki itu, dia tersentak. Lelaki itu memandangnya. Dia juga sama dan pandangan mereka bertaut.
“Err..boleh kitaorang duduk?” soal Adif yang sedar dia dan rakan di sebelahnya hanya diperhati tanpa dijemput untuk duduk oleh dua orang wanita itu.
Automatik pandangan mata mereka terlerai.
“Oh yalah. Korang duduklah.” Nadira tertawa kecil.
Masing-masing cuba ketawa untuk membuang rasa canggung. Adif dan rakannya mengambil tempat yang berhadapan dengan Qasreena dan Nadira.
“Dira, aku keluar sekejap. Nak ambil barang kat kereta.” Qasreena bangkit dari tempat duduknya.
“Hah? Barang apa?” berkerut dahinya memandang Qasreena. Kenapa tiba-tiba?
“Adalah..” Qasreena memandang Nadira dan Adif bersama sengihan. Kemudian, dia memandang kawan kepada Adif itu sekilas. Hilang sengihan dibibirnya. Gila kau nak sengih dengan orang yang kau tak rapat malah tak kenal?
“Aku datang terus lari eh? Kenapa? Dah tak cukup nafas bila nampak muka kacak aku ni?” sebelah kening diangkat. Dipandangnya wajah sahabat lamanya itu. Zaman sekolah dulu, dia dan Qasreena rapat. Dia kenal Nadira pun sebab Nadira ialah kawan Qasreena semasa menuntut di Universiti dahulu.
What? Qasreena tergelak besar mendengar ucapan yang keluar dari mulut sahabatnya itu. “Agak-agaklah, Dif. Girlfriend kau kat depan ni aja kot.” dijelingnya Nadira yang duduk di sebelahnya.
Eh! Adif memandang Nadira. Pura-pura tersedar.
Nadira menjongketkan sebelah keningnya.
“Marah ke?” soalnya tanpa perasaan.
“Nak marah kenapa?”
“Okay, awak tak marah. Good.” Adif terus angkat ibu jarinya. Dia bukan buat pick-up line pun untuk Qasreena. Tak ada sebab Nadira nak marah dia.
Adif mengalihkan pandangannya ke arah jendela.
‘Macam tu saja?’ ahh..tak kisahlah. Nadira juga mengalihkan pandangannya ke arah lain.
“Aku keluar dulu eh? Korang sembanglah lepaskan rindu.” Dia pandang kawan kepada Adif itu sekilas sebelum memulakan langkah. Tak tahulah ini rezeki ataupun apa, lelaki berkulit cerah itu juga memandangnya. Cuak Qasreena dibuatnya. Segala ototnya terasa tidak lagi berfungsi.
‘Nak buat apa ni? Lelaki tu pun tengah stuck juga pandang aku’ Senyum?
Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman untuk perempuan itu.
‘Dia senyum?’ semakin cuak dia jadinya. Qasreena tunduk memandang lantai sebelum kembali mengangkat kepalanya bersama-sama dengan senyuman di wajah. Dia memandang bibir lelaki itu kerana kelihatan seperti menuturkan sesuatu kepada.
“Hai?” Qasreena meneka perkataan yang disebut tanpa suara oleh lelaki itu. Tanpa dia sedar, dia menuturkan perkataan yang ditekanya itu dengan suara yang dapat didengari oleh ketiga-tiga orang yang berada di hadapannya itu.
"Oh, kau nak kenal dia ke?” soal Nadira.
“Hah?” Ya Allah. Kenapa dia cakap ‘hai’ tadi? Qasreena sudah tak tentu rasa. Malu weh, lelaki tu tak ada pun kata nak kenal.
“Adif, kenalkanlah kawan awak ni kat Qasreena.” Nadira menjeling teman lelakinya itu.
“Oh, maaf Que. Lupa pulak aku kau yang kat sebelah ni.” Tuturnya sambil tersengih kambing.
Que senyum nipis. Tidak dikenalkan pun tidak mengapa baginya.
“Nama dia Que Hazrel dan jantina dia lelaki. Itu saja yang aku tahu tentang dia. Kalau nak kenal lebih lanjut sila berhubung dengan tuan badan sendiri.”
“Kau ingat aku ni butakah tak boleh nak bezakan jantina dia?” Qasreena buat muka toya.
“Ya, begitulah.” jawab Adif tanpa perasaan.
Nadira tergelak kecil. Manakala, Qasreena dah macam beruk yang berfikir sama ada dia manusia atau haiwan yang dipanggil beruk.
Que tertawa kecil saat melihat muka ‘tak rilek' Qasreena. “I’m Que..awak?” Que setia mendongak untuk menatap wajah Qasreena yang sedang berdiri.
“Qasreena. Nama panjang sa-saya Qasreena Tasneem.” buat pertama kalinya dia gagap. Entahlah, dia sendiri tidak tahu hendak membahasakan dirinya apa. Takkan nak guna 'I' juga kan?
“Cantik nama.”
Qasreena hanya menghadiahkan senyuman nipis sebagai tanda terima kasih atas pujian itu. “Guys, aku keluar.” rasanya sudah berapa kali dia nak keluar tapi tertangguh?
“Nak aku pesankan makanan untuk kau?”
“Tak. Mungkin aku keluar lama sikit. Korang makanlah, borak-borak. Alah..macam orang dating tulah.” tanpa menunggu balasan daripada mereka, Qasreena terus melangkah keluar dari restoran.
‘Bukankah dia pergi sini sebab nak temankan aku dengan Adif?'
Nadira memandang dua orang lelaki yang berada di hadapannya. Ahh..bukannya tinggal berdua pun. Ada Que.